Kerajaan Sarawak Digesa Membina Jalan Ke Ulu Katibas Dengan Segera

Paren Anak Nyawi berdiri sebelah papan tanda Jalan Mati Nanga Banjor Katibas Song.

Oleh BORNEOTODAY
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak digesa untuk membina jalan ke Ulu Katibas. Ini adalah kerana buat masa ini jalan di Sungai Katibas hanya berakhir di Nanga Banjor.

Selepas mendapat mandat besar dari rakyat Sarawak secara amnya dan rakyat Katibas secara khususnya semasa Pilihan Raya Negeri ke 11 yang lalu, kerajaan sepatutnya memberikan hadiah pembangunan yang lebih bermakna kepada pengundi di Katibas.

“Tetapi apa yang rakyat Katibas dapat? 70 peratus rumah panjang di Katibas masih dihubungi dengan laluan Sungai,” Paren Anak Nyawi, pengerusi DAP Katibas bersuara dalam satu kenyataan.

Jalan Nanga Banjor yang sepatutnya menghubungkan Ulu Katibas.

“Saya ingin bertanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Katibas, Ambrose Blikau, apakah sumbangan beliau kepada penduduk Katibas selama 40 tahun ini?”

Paren merayu cukupkah sekadar memberi projek berstatus “dedak politik” seperti MRP sahaja.

Beliau menegaskan sebahagian kawasan Katibas masih tidak memiliki kemudahan asas seperti jalanraya, elektrik dan rangkaian komunikasi yang baik.

“ADUN Katibas sendiri mengakui dia sudah meminta jalan ke Ulu Katibas semenjak tahun 1979 lagi tetapi masih tidak Berjaya,” tambah Paren.

“Ini menunjukkan Kerajaan BN dan Wakil Rakyat BN di Katibas sedang dan akan terus memperbodohkan kebijaksanaan pengundi di luar bandar dan dia sendiri bersenang lenang hidup di bandar Kuching tanpa merasakan sendiri kesusahan harian pengundi di kawasannya.”