Kerajaan Sabah-UMS Terus Perkukuh Kerjasama Bangunkan Modal Insan

Prof Taufiq (tengah) bersama Kamarudin (kiri) Yusof (kanan) bergambar semasa Majlis Serah Tugas Naib Canselor UMS.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memberi kerjasama baik terhadap kepimpinan Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu dalam memastikan usaha melahirkan sumber manusia berilmu pengetahuan dapat diteruskan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, perlantikan Prof Taufiq sepatutnya tidak lagi menjadi isu kerana beliau juga adalah anak jati Sabah.

“Saranan saya pada masa lalu, Kerajaan Sabah mungkin berkecil hati sikit tetapi, sebagai universiti, ia seharusnya bertindak sebagai pusat pengajian yang melahirkan sumber manusia yang diperlukan di pasaran. Ia kerana kita tidak mahu melahirkan graduan berkelulusan tetapi tidak boleh dimanfaatkan.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan kehadiran Naib Canselor baharu dan kita berharap tiada lagi isu mengenai perlantikan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Tugas Naib Canselor UMS, di Galeri Majlis UMS, di sini pada Isnin.

Yusof juga menyarankan Prof Taufiq meneruskan dasar-dasar yang ada dan memperbaiki kedudukan UMS di mata dunia.

Menurutnya, sebagai pemimpin beliau mahu ada kerjasama baik antara kerajaan dan universiti.

Malah, beliau mahu universiti yang menjadi tumpuan pelajar seluruh dunia ini terus dikenali dan terus meningkatkan kualiti dalam melahirkan graduan yang mempunyai pasaran yang baik.

Beliau berkata, kerajaan melalui kementeriannya yang bertanggungjawab dalam menyusun sumber manusia akan membantu universiti ini dalam menarik pelabur dan melahirkan sumber manusia yang diperlukan di pasaran.

“Saya minta tenaga pengajar supaya peka terhadap industri yang memerlukan tenaga kerja. Misalnya, dalam industri perkayuan, minyak dan gas serta pelancongan.

“Saya berharap perkembangan industri pelancongan dapat dimanfaatkan oleh universiti ini,” ujarnya.

Yusof juga yakin dengan kepimpinan universiti yang baharu dan kesinambungan kepimpinan lama, UMS akan terus berkembang maju ke hadapan.

Beliau juga mahu UMS menekankan aspek kajian dan penyelidikan untuk kekal unggul dalam bidang penyelidikan.

Bagi menyokong usaha itu, kerajaan akan menawarkan kawasan seluas 400 ekar di Sipitang untuk dijadikan kawasan eko penyelidikan.