Kerajaan Sabah Tidak Cadang Naikkan Tarif Air – Ketua Menteri

2021
SHAFIE APDAL: tiada ertinya kerajaan menaikkan tarif sekiranya masih banyak kampung-kampung di Sabah yang tidak mempunyai bekalan air terawat.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Kerajaan Negeri tidak bercadang menaikkan tarif air di Sabah buat masa ini sebaliknya ingin memberi fokus membekalkan air terawat ke kawasan kampung yang masih belum mempunyai bekalan air bersih.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, tiada ertinya kerajaan menaikkan tarif sekiranya masih banyak kampung-kampung di Sabah yang tidak mempunyai bekalan air terawat.

“Apa yang penting pada masa ini adalah kita strukturkan semula Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dengan menamatkan khidmat sumber luar dalam menguruskan loji-loji yang ada. Jabatan Air akan memainkan peranan penting dalam urustadbir bekalan air terawat.

“Kita akan pastikan usaha ini dapat dilakukan. Saya yakin pengurusan yang baik dapat mengelakkan ketirisan berlaku dan kita perlu pastikan tidak banyak kehilangan sumber yang berlaku agar hasil yang diperolehi Jabatan Air dapat ditingkatkan,” katanya ketika ditanya adakah Kerajaan Negeri akan meningkatkan tarif bekalan air seperti yang akan dilakukan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahaun Baharu DUN Kadamaian, di Dewan Gopog Taginambur, di sini pada Khamis.

Mohd Shafie berkata, JANS perlu memastikan bekalan air mencukupi dengan mengambil beberapa langkah agar sambungan bekalan air dapat disalurkan ke kampung-kampung yang masih belum mendapat bekalan air. Langkah yang terbaik akan dikenalpasti.

Pada Rabu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan tentang kemungkinan tarif air akan dinaikkan secara berperingkat pada tahun ini selaras dengan usaha penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Xavier berkata, kenaikan tarif itu perlu dilaksana bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri berkenaan dari sudut perkhidmatan.

Kemudian ditanya tentang kajian semula penamatan kontrak penyelenggaraan jalan raya di Sabah, Mohd Shafie berkata, perkara itu sudah dilakukan pada tahun lalu berikutan kegagalan syarikat konsesi berkenaan meyelenggara jalan-jalan di negeri ini.

Menurutnya, banyak jalan-jalan di negeri ini perlu dipertingkatkan dan langkah-langkah berkaitan perlu diambil bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.

“Oleh itu, kita akan menggunakan landasan berasaskan peraturan dan perundangan yang ada untuk pastikan jalan raya di Sabah ini diselenggara dengan baik.

“Masih banyak lagi jalan yang rosak hingga menyebabkan berlakunya kemalangan. Maka, sudah sampai ketikanya bukan hanya jalan raya rosak itu ditampal sebaliknya, perlu ada pendekatan baharu yang membolehkan jalan diselenggara boleh digunakan untuk tempoh yang lama,” ujarnya.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan oleh Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Negeri jadi, biarlah mereka yang memutuskan siapa yang akan mengambil alih tugas penyelenggaraan itu nanti.

Atas sebab itu, beliau meminta penelitian dibuat secara mendalam agar penyelenggaraan jalan-jalan di Sabah ini dapat dipertingkatkan dan khidmat kontraktor juga perlu diperbaiki kerana ia melibatkan perbelanjaan ratusan juta setiap tahun.