Kerajaan Sabah Terus Komited Pastikan Perpaduan Rakyat Terus Kukuh

mm
Masidi, diiringgi oleh Mayor Kota Kinabalu, Yeo Boon Hai, dan presiden Sabah Council of Churches, Datuk Jerry Dusing membuat lawatan ke gerai-gerai.

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan perpaduan rakyat, keharmonian kaum dan toleransi beragama terus kukuh di Sabah bagi mencipta banyak lagi kejayaan seterusnya menjamin masa depan lebih baik.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata sebarang tindakan yang menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan perlu dihindari bagi merealisasikan agenda pembangunan dengan berkesan, sekaligus meningkatkan lagi ekonomi serta memacu pembangunan dan kemajuan di Sabah.

“Kerajaan negeri tidak pernah teragak-agak memberi sokongan terhadap penganjuran apa jua festival, karnival dan program menjurus ke arah pemantapan perpaduan, amalan dan budaya dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Sambutan Krismas Gaya 2016 di Padang Merdeka di sini, Selasa malam. Teks ucapan Musa dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Musa juga menyeru rakyat Sabah untuk terus bersama dan menyokong kerajaan bagi memastikan kestabilan politik, kemakmuran sosial dan ekonomi dapat terus dipertingkatkan untuk kepentingan bersama.

“Apa yang penting kerjasama dan sokongan rakyat dalam menyumbang kejayaan kepada segala dasar serta program sedang kita laksanakan di seluruh negeri demi kesejahteraan semua rakyat, khususnya generasi akan datang,” katanya.

Mengenai majlis itu, Musa berkata kerajaan negeri menghargai komitmen untuk menganjurkan program kemasyarakatan berkenaan setiap tahun.

“Penganjuran acara seumpama ini mampu meningkatkan lagi semangat perpaduan, toleransi dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama di Sabah.

“Saya percaya kepelbagaian kaum perlu dijadikan teras untuk kita saling mengenali, bersatu padu, bekerjasama dan seterusnya mewujudkan satu bangsa Malaysia yang cemerlang. Keadaan ini membolehkan kita meraikan setiap perayaan dengan penuh harmoni,” katanya.