Kerajaan Sabah Terus Komited Bantu PCA; Usaha Sukarelawaan Dipuji

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi jaminan akan memberi sokongan berterusan kepada Persatuan Perkhidmatan Paliatif (PCA) dalam menjayakan program-program yang dilaksanaan persatuan itu pada masa akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, komitmen PCA yang bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Unit Paliatif Hospital Queen Elizabeth telah berjaya membantu 3,500 pesakit dan keluarga mereka yang memerlukan penjagaan khas sejak 1998.

Dengan komitmen dan sumbangan dilakukan PCA ini diharap akan mendapat sokongan penuh daripada masyarakat dalam menyediakan khidmat penjagaan kepada pesakit yang kronik.

“Saya memuji usaha ahli, sukarelawan dan kakitangan PCA atas kesungguhan mereka membantu persatuan dalam menyediakan penjagaan kepada penghidap penyakit kronik. Malah, pujian harus diberikan kepada pasukan PCA yang berjaya menjalankan penjagaan rumah PCA (home care),” katanya.

Shafie berkata, untuk membolehkan PCA berdepan cabaran pada masa depan persatuan ini perlu mengamalkan sikap terbuka untuk berkongsi sumber dan kepakaran dalam memastikan manfaat daripada kerjasama yang terjalin mampu memanfaatkan semua pihak.

Beliau juga memberi jaminan bahawa dengan sokongan persatuan-persatuan sebegini, usaha meletakkan Sabah pada kedudukan lebih baik pada masa akan datang mampu direalisasikan.

Dalam majlis itu, untuk tahun kelima berturut-turut Datuk J Ambrose Lee dari Syarikat Gonawin Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak RM100,000 kepada PCA pada tahun ini.