Kerajaan Sabah Terima Sumbangan RM5.85 juta Untuk Tangani Covid-19

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerusi Tabung Bencana Negeri Sabah menerima sejumlah RM5.85 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di sini hari ini.

Antara syarikat tersebut adalah Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC); Asian Supply Base Sdn Bhd; Rahnill Powertron Sdn Bhd; Koperasi Pembangunan Desa, Warisan Harta Sdn Bhd dan dua anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah iaitu Benta Wawasan Sdn Bhd dan Sabah Softwood Berhad.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan bagi mengurangkan bebanan keperluan barisan hadapan serta membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan telah membeli kit ujian reagen dari Singapura dengan peruntukan sejumlah RM750,000 dan peralatan ini sudah diserahkan kepada Pengarah Kesihatan negeri Sabah.

Katanya, kemudahan peralatan kesihatan sebegitu amat diperlukan termasuklah topeng penutup hidung dan mulut serta sanitasi tangan.

Menurutnya, keperluan menyediakan topeng serta sanitasi kepada pelajar-pelajar sekolah juga perlu apabila sesi persekolahan dibuka semula. Terutama sekali kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Atas sebab itu, sumbangan yang diberikan akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan kemudahan kesihatan yang diperlukan dapat disediakan.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan bagi menambah baik prasarana di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti di Institusi Latihan KKM, Bukit Padang dan Akademi Bomba & Penyelamat Malaysia, Sabah.

Katanya, beliau sedar keupayaan pusat-pusat kuarantin sedia ada tidak mencukupi. Maka, Kementerian Pembangunann Infrastruktur dan Kementerian Kewangan perlu membaik pulih kemudahan pusat kuarantin yang ada demi keselesaan mereka yang ditempatkan di situ.

Tambahnya, kemudahan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas juga akan ditambah baik agar rakyat yang dikuarantin dapat ditempatkan di situ.