Kerajaan Sabah Tamatkan Kontrak Syarikat Urus Loji Air – Peter

PETER ANTHONY

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ke arah melaksanakan langkah penjimatan, Kerajaan Negeri akan menamatkan kontrak enam syarikat konsesi yang menguruskan 58 loji rawatan air di Sabah pada 15 Januari 2019.

Dengan itu, kerajaan akan memberi fokus kepada usaha memerangi aktiviti menyambungan air secara haram yang menyebabkan kecurian air berlaku dan mengakibatkan kerugian kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, dengan penamatan kontrak enam syarikat itu, kerajaan boleh menjimatkan lebih RM1 bilion. Ia kerana kerajaan perlu membayar RM15 juta sebulan bagi tempoh 20 tahun berdasarkan perjanjian yang dimeterai kerajaan terdahulu.

Katanya, keputusan menamatkan kontrak konsesi itu diambil kerana kerajaan tidak mampu menampung kos terlalu tinggi yang perlu dibayar kepada kesemua syarikat berkenaan.

“Setelah mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan, kita telah membuat keputusan menamatkan semua kontrak perkhidmatan pengurusan loji rawatan air dibawah kontrak “outsource”.

“Dengan itu, semua tanggungjawab mengendali dan menyelenggara loji-loji terbabit akan diambil alih oleh JANS.

“Enam syarikat terlibat ialah Arawira Sdn Bhd, Yuda Water Sdn Bhd, Akal Kukuh Sdn Bhd, Sahabat Megajuta Sdn Bhd, Harmony Water Sdn Bhd, dan syarikat BYT Vision Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, JANS akan menyerap semua 1,355 kakitangan dibawah syarikat-syarikat konsesi itu. Namun, tempoh kontrak perkhidmatan mereka akan dikaji dan dibincangkan kemudian.

Peter berkata, segala aspek melibatkan perundangan yang terlibat dalam penamatan kontrak ini akan diuruskan oleh Peguam Besar Negeri.

Katanya, pada masa ini terdapat 83 loji rawatan air di Sabah dengan 14 loji dikendalikan oleh syarikat konsesi bekalan air, 11 loji lagi dikendalikan oleh JANS dan 58 loji dikendalikan oleh enam syarikat berkenaan.

Menurutnya, sebaik sahaja kontrak enam syarikat itu ditamatkan, kerajaan akan memerangi habis-habisan aktiviti kecurian air yang dilakukan melalui penyambungan haram.

Ia kerana terdapat banyak syarikat swasta mengambil kesempatan terhadap jarak loji dengan kawasan komersil dan perumahan dengan bertindak mengepam air kemudian menjual semula air berkenaan ke kawasan seperti Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.

“Kita tahu perkara ini sedang berlaku maka, kita memberi peringatan kepada mereka yang terlibat supaya menghentikan kegiatan berkenaan sebelum kerajaan bertindak ke atas pihak yang terlibat,” jelasnya.
Katanya, walaupun POIC mendapat bekalan air dari JANS namun, masih terdapat sekumpulan pihak tidak bertanggungjawab menjual air yang dicuri kepada syarikat di kawasan POIC.

Kemudian mengenai masalah bekalan air yang berlaku di Beaufort dan Kuala Penyu, kerajaan sedang dalam proses reka semula pam air dan penyambungan air di kawasan berkenaan untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air.

Beliau berkata, keadaan cuaca yang menyumbang kepada kekurangan bekalan air mengakibatkan situasai bertambah teruk. Maka, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyimpan stok air.