Setiausaha Agung Parti Warisan (Warisan), Datuk Loretto S.Padua berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan telah lama dibuat bagi membolehkan Akta Anti Lompat Parti ini dilaksanakan di peringkat Persekutuan namun, sehingga kini undang-undang itu belum diluluskan di Sabah.
“Seperti yang semua tahu, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Negara Malaysia dan mana-mana undang-undang yang tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan adalah Ultra Vires.
“Oleh itu, Kerajaan Sabah mestilah meluluskan Akta ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) seberapa cepat yang mungkin (munasabah),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan sepatutnya Akta itu diluluskan pada November tahun lalu tetapi, ia telah ditunda.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Datuk Seri Hajiji Noor boleh sahaja memanggil Sidang DUN Khas pada bila-bila masa kerana perkara ini adalah isu pokok yang melibatkan Perlembagaan.
Menurut Loretto, tindakan ADUN-ADUN yang melompat selepas pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dibuat masih dianggap tindakan yang tidak berperlembagaan walaupun Sabah belum lagi melaksanakan undang-undang Anti-Lompat Parti.
Jelasnya, tindakan mereka ini bukan sahaja menjejaskan reputasi Sabah sebagai sebuah Wilayah yang terkenal dengan ADUN yang gemar melompat tetapi juga akan mencemarkan kredibiliti Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri yang seakan-akan merestui tindakan ADUN-ADUN ini.
Sejak 6 Februari lalu, lapan ADUN Sabah iaitu empat daripada Warisan dan empat daripada UMNO bertindak keluar daripada parti masing-masing bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).