Kerajaan Sabah sedia beri kerjasama dalam penstrukturan ESSCOM

127

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan sentiasa memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam soal penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan memastikan kerjasama sebaik mungkin diberikan kepada Kerajaan Persekutuan walau apa juga penstrukturan yang akan dilakukan dalam pasukan ESSCOM.

”Kita mengalu-alukan apa juga cadangan dikemukakan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Apa yang penting adalah keberkesanan peranan ESSCOM di Sabah.

”Saya sedia maklum tentang perkara ini dan perubahan-perubahan yang akan dilakukan. Kita akan memberi sokongan penuh dalam memastikan pelaksanaannya (ESSCOM) di peringkat negeri dapat dilaksana sebaik mungkin,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengenai langkah penstrukturan semula ESSCOM.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi bersama Ketua-ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan), di sini pada Ahad.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini merancang untuk membubarkan ESSCOM namun, cadangan itu berubah selepas Ketua Polis Negara mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan ESSCOM.

Pada 6 Mei lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyatakan perbincangan sedang dilakukan dalam Majlis Keselamatan Negara mengenai langkah penstrukturan semula ESSCOM.

Beliau dipetik berkata, MKN akan berbincang dengan Kerajaan Negeri bagi melihat tugas yang bakal disusun semula bagi meningkatkan lagi keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Menurutnya, kementerian itu mendapat peruntukan tambahan RM200juta untuk diagihkan bagi mempertingkatkan tugas keselamatan dalam ESSCOM.

Kemudian ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak mempertikaikan perlantikan Loh Ee Eng yang dikatakan bukan anak jati Sabah tetapi dilantik sebagai Bendahari DAP Sabah, Mohd Shafie berkata, perlantikan itu dilakukan mengikut permintaan parti dan bukan berasaskan permintaan individu.

Presiden Warisan ini berkata, Loh sudah lama menjadi ahli DAP dan beliau sudah lama menetap di Sabah.

“Peruntukan itu untuk parti (DAP)..itu lantikan parti. Mereka yang mengemukakan calon yang dimahukan,” ujarnya.