Kerajaan Sabah Sedia Bantu Peniaga Ramadan Terjejas

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengenal pasti langkah terbaik dalam memastikan peniaga bazar Ramadan yang terjejas diberikan bantuan sewajarnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan perlu lebih kreatif dalam membantu peniaga bazar Ramadan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan keputusan kerajaan persekutuan untuk tidak menggalakkan operasi e-Bazar semasa bulan Ramadan.

“Walaupun kita perlu mengikut saranan kerajaan persekutuan tapi, kita kena kreatif. Kita kena lihat bagaimana untuk memastikan rakyat tidak terdedah dengan wabak Covid-19 dan dalam masa sama kita tidak menghentikan mereka daripada memperoleh pendapatan.

“Malah, dalam Mesyuarat Kabinet lalu juga saya sudah bangkitkan supaya setiap kementerian yang berkaitan sama ada Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan (KKTP) dan yang berkaitan dengan keusahawanan supaya bantu mereka ini mendapatkan bantuan untuk berdepan dengan bulan Ramadan,” katanya ketika mengulas mengenai pelaksanaan e-Bazar sempena Ramadan.

Beliau berkata, bagi pengusaha restoran, mereka boleh menggunakan sistem online untuk memastikan orang ramai masih boleh memperoleh bekalan makanan dan kuih-muih sepanjang Ramadan ini.

Mohd Shafie berkata, perubahan struktur perlu dibuat dalam memastikan peniaga makanan masih boleh menjalankan perniagaan secara online.

Tambahnya, usaha membantu rakyat terjejas sepanjang PKP dan Ramadan ini juga akan diteruskan.