Kerajaan Sabah Peruntukan RM 50juta Tangani Penularan Covid-19

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan peruntukan sejumlah RM50 juta bagi menangani penularan wabak Covid-19 di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah yang pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 29 September lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM10 juta akan diperuntukkan bagi menyediakan bakul makanan kepada penduduk di empat daerah yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran, iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak.

Katanya, semua pengurusan berkaitan isu-isu Covid-19 akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Timbalan Pengerusi pula adalah Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi sementara ahli-ahlinya terdiri daripada agensi-agensi negeri dan persekutuan yang berkaitan.

“Dengan itu Pusat Arahan Covid-19 dimansuhkan dan peranannya diletakkan di bawah jawatankuasa ini,” jelasnya.

Pelaksanaan PKPDB di empat daerah di Sabah itu dikuatkuasakan pada 29 September sehingga 12 Oktober ini. Ia membabitkan seramai 962,661 orang penduduk.

Setakat semalam, sejumlah 1,877 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 842 kes aktif.