Kerajaan Sabah Perlu Peka Pastikan Capaian Internet Menyeluruh Seluruh Negeri

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dan secara langsung dalam memastikan pembangunan telekomunikasi digital di seluruh negeri secara menyeluruh dan dipantau.

Pengerusi Common Tower Technologies Sdn. Bhd. (CTTSB), Ghazalie Ansing berkata, pelan tindakan Jaringan Digital Negara (JENDELA) bermula tahun 2021 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan idea bernas untuk menaik taraf jaringan digital negara melangkaui 4G.

Katanya, pelaksanaan JENDELA hanya mampu mencapai objektif jika Kerajaan Negeri Sabah melalui agensinya mengambil peranan utama dan terlibat secara langsung dalam projek pembangunan digital negeri.

“Kita tidak mahu berulang lagi insiden seperti jambatan gantung runtuh atau rakyat terpaksa memanjat pokok dan bumbung bangunan demi capaian internet lebih baik, ini masanya Kerajaan Negeri Sabah lebih peka dan bertanggungjawab demi rakyat.

“Statistik terbaharu pula menunjukkan lebih 52 peratus pelajar di Sabah tidak mempunyai capaian internet yang baik menyebabkan pembelajaran melalui dalam talian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tentang insiden jambatan gantung runtuh di Ranau ketika beberapa pelajar berada di situ untuk mencari capaian internet menyebabkan tiga daripadanya cedera.

Ghazalie berkata, aspirasi negara melalui JENDELA amat baik iaitu menaik taraf menara telekomunikasi kepada capaian 4G serta menambah jumlah menara telekomunikasi di negeri ini agar penembusan internet lebih tinggi.

Namun katanya, Kerajaan Negeri Sabah hendaklah mempunyai sistem pemantauan menara telekomunikasi sendiri untuk memantau kerja-kerja lapangan dan kemampanan menara telekomunikasi yang sedia ada.

“Sistem ini juga perlu agar Kerajaan Negeri Sabah dapat melihat kadar permintaan-penawaran kapasiti internet di setiap lokaliti serta pelan JENDELA dapat memanfaatkan rakyat secara menyeluruh dan berkesan,” jelas beliau.

Menurutnya, CTTSB selaku anak syarikat Warisan Harta milik penuh kerajaan negeri akan berganding bahu dan membantu usaha meningkatkan capaian internet di negeri ini.

Jelasnya, sebagai pemilik dan pengurus kepada 257 menara telekomunikasi di negeri ini, CTTSB merupakan salah satu operator terbesar dalam industri telekomunikasi negara, justeru kepakaran yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya demi membantu Kerajaan Negeri  Sabah.

“CTTSB akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan agar pelan melebarkan jalur internet ke seluruh pelusuk negeri dapat direalisasikan.

“Bagi mencapai aspirasi ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menyediakan peruntukan tinggi dan secukupnya kepada Sabah serta akan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Sabah,” tambahnya.