Kerajaan Jamin Pelbagai Kemudahan Daerah Papar Akan Ditambah Baik

89
Datuk Jaujan Sambakong menyampaikan hadiah kepada seorang
pemenang sempena Hari Potensi Jabatan Kemas peringkat Negeri Sabah 2019 peringkat Negeri Sabah. Turut kelihatan Menteri Undang-undang dan Hal-Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar (dua kiri).

PAPAR: Pelbagai kemudahan daerah Papar akan ditambah baik dalam usaha kerajaan Sabah menyediakan suasana keadaan yang lebih kondusif kepada rakyatnya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, perkara itu akan dijadikan keutamaan dan pihak berkaitan akan diarahkan bagi melaksanakan tugasan tersebut.

Katanya, antara kemudahan yang diberi perhatian adalah padang awam, pasar umum, jalan raya, lampu serta beberapa keperluan lain yang perlu segera diperbaiki.

“Usaha ini bersesuaian dengan teras kita dalam membangunkan Sabah yang mana kita mahu rakyat terus diberi keutamaan.

“Sudah tentu walaupun hakikat kerajaan kini tengah memulihkan ekonomi, tapi jika itu keutamaan, saya rasa tiada masalah dan kerajaan kita mampu melaksanakan,” katanya ketika merasmikan majlis
penutupan Hari Potensi Jabatan Kemas Peringkat Negeri Sabah 2019, di
sini pada Rabu.

Beliau berkata, Hari Potensi yang dianjurkan oleh Jabatan Kemas setiap tahun itu, beliau berkata ia seiring dengan dasar Kerajaan Sabah baharu yang menjadikan pendidikan sebagai keutamaan.

Katanya, kerajaan akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada mana-mana program melibatkan pendidikan prasekolah terutama Jabatan Kemas di negeri ini.

Justeru, beliau berharap akan lebih banyak program melibatkan ibu bapa, pelajar dan guru tabika dianjurkan bersama bagi memikul tanggungjawab melahirkan generasi muda yang cemerlang dari aspek pendidikan serta tatasusilanya.

Ketika dalam sidang media, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Kerajaan Negeri akan menaik taraf Dewan Masyarakat Datuk Salleh Sulong di daerah ini yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, usaha itu termasuklah menambah baik kemudahan yang masih usang dan belum ada dalam dewan berkenaan.

Katanya, ia penting memandangkan dewan itu menjadi satu keperluan dan kegunaan oleh semua masyarakat di daerah ini.

“Saya sudah mengarahkan pegawai eksekutif Majlis Daerah Papar supaya
memanggil bahagian teknikal untuk melihat serta meneliti dari segi
penambahbaikan.

“Bukan saja kita pasang penghawa dingin, sudah tentu pendawaian juga
perlu dilihat, termasuk kemudahan yang ada dalam dewan ini supaya
dapat dilengkapkan,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar dan Pengarah Kemas Negeri Sabah Shahrulnizam Jantan.