Kerajaan Sabah Jamin Bekalan Ayam Mencukupi

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah memberi jaminan bekalan ayam di negeri ini mencukupi.

Timbalan Ketua Menteri, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan berkata, bekalan ayam di Sabah mencukupi jadi, tidak timbul isu tiada ayam di pasaran.

“Di Sabah, kita masih banyak ayam, setiap keluarga juga pelihara ayam jadi, kekurangan bekalan ayam tidak begitu terkesan di Sabah. Walaupun kita mengimport ayam namun, jumlah bekalan yang diimport tidak banyak.

“Namun, ketika musim perayaan bekalan ayam import dikhuatiri akan berkurangan dan itulah yang menyebabkan harga ayam meningkat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Jika berlaku masalah kekurangan bekalan ayam, pengguna di negeri ini boleh beralih kepada bekalan ayam kampung, biarpun harganya lebih mahal namun, ia lebih terjamin kerana memakan baja organik.

Dalam pada itu, Jeffrey menggalakkan rakyat di negeri ini untuk menghasilkan makanan sendiri dengan memelihara ayam dan bercucuk tanam sendiri.

“Jika beli ayam komersil, kita tidak tahu ayam ini makan banyak kimia. Tapi, kalau pelihara sendiri, kita boleh beri baja organik. Namun, untuk memelihara ayam, kita tidak boleh harap hari ini kita pelihara, esok ayam sudah besar. Kena lihat kesesuaiannya.

“Bagi mereka yang bekalkan anak ayam pula, jika boleh gunalah baja organik tempatan jangan bergantung kepada baja import,” ujarnya.

Pada masa ini, Sabah mengeluarkan sebanyak 6.6 juta kilogram ayam dan telur ayam sebanyak 2.5 juta biji dalam masa sehari.

Berhubung keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam, Jeffrey berkata, situasi itu tidak memberi kesan yang besar kepada industri ternakan ayam Sabah.

Beliau berkata, tidak banyak pengusaha yang mengeksport ayam ke luar negara di Sabah jadi, pembekuan eksport yang akan berkuat kuasa pada bulan hadapan tidak menjejaskan keadaan di negeri ini.

“Apa yang membimbangkan pada masa ini adalah jika negara pengeksport ayam menghentikan eksport untuk kegunaan mereka sendiri tapi, saya harap ia tidak berlaku,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.