Sabah Hargai Langkah Kembalikan Status Rakan Sekutu Dalam MA63

2876

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak akan berhenti menyuarakan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sehingga ia berjaya ditunaikan.

Walaupun Kerajaan Negeri berterima kasih kepada pimpinan atasan kerana bersetuju untuk membuat pindaan dalam perlembagaan, namun kerajaan akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang terkandung dalam MA63.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pimpinan atasan bersetuju membuat pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan sekutu akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Rakyat pada kali ini.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membawa dan membentangkan mengenai pindaan perlembagaan itu dalam persidangan yang akan bermula pada Isnin.

“Itu adalah perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bahawa Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia adalah sebuah wilayah.

“MA63 adalah salah satu agenda (Parti Warisan Sabah-Warisan) yang diperjuangkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu.

“Kita mahu memastikan apa yang termaktub dalam MA63 dapat ditunaikan.

”Terdapat beberapa perkara masih dalam perbincangan. Apa yang perlu, kita akan utarakan tanpa ada batasan dan kebimbangan,” katanya ketika ditanya mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam merealisasikan perkara yang termaktub dalam MA63.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Taun Gusi, di sini pada Ahad.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan berkata, penubuhan parti itu selaras dengan hasrat untuk merealisasikan kehendak rakyat termasuk dalam mengembalikan status Sabah sebagai wilayah.

“Isu lain seperti tuntutan royalti minyak sebanyak 20 peratus akan terus disuarakan sehingga ia berjaya direalisasikan.

“Jika dahulu pada tahun 1975 kita memperoleh lima peratus kerana ketika itu memerlukan modal kapital awal tetapi kini sudah 2019.

“Kini pemberian royalti lima peratus itu perlu ada perubahan dan ia perlu diselaraskan kerana Sabah memerlukan pembangunan dan peruntukan yang lebih banyak,” jelasnya.

Menurutnya, pemberian royalti minyak 20 peratus mampu memberi manfaat kepada hampir 4 juta penduduk Sabah kerana wang itu akan digunakan untuk pembangunan Sabah.

Akan tetapi, jika Petronas hanya melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), program sebegitu hanya tertumpu kepada sekelompok masyarakat sahaja.

Katanya, banyak perkara diperjuangkan dibawah Warisan dan ianya akan diteruskan walaupun ada antaranya yang perlu mengambil sedikit masa.

”Apabila kita suarakan tentang hak-hak Sabah dalam MA63 bukan bermakna kita tidak sayangkan Malaysia tetapi kita mahu kehendak dan hak Sabah dalam MA63 ditunaikan.

”Bila saya menuntut hak-hak Sabah ada yang risau ia akan menjadi masalah kepada pemimpin atasan. Saya bukan ada sifat kenegerian yang tebal tetapi, saya cuma mahu membela hak-hak orang Sabah,” ujarnya.

Katanya, jika kehendak dan hak-hak rakyat Sabah tidak ditunaikan, perkara yang berlaku terhadap kerajaan terdahulu mungkin akan berlaku kepada Kerajaan pimpinan Warisan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga berharap agar kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat dipertingkatkan.