Kerajaan Sabah-Filipina Akan Tangani Isu Warga Filipina Tiada Dokumen Di Sabah

11569
Mohd Shafie bersama Charles ketika ditemuramah media, di Pejabat Ketua Menteri, di sini pada Khamis -gambar Jabatan Penerangan Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Filipina akan mengenalpasti langkah penyelesaian terbaik dalam menangani masalah warga Filipina yang tidak berdokumen di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, langkah menangani permasalahan rakyat tidak berdokumen itu perlu diselesaikan berikutan jumlah rakyat Filipina yang berada di Sabah yang agak ramai.

Mengenai perdagangan tukar barang (barter trade) yang akan dilaksana semula pada Mac ini, Mohd Shafie berharap, barter trade itu akan mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua negara.

”Kita juga mencadangkan agar barter trade ini menggunakan mata wang negara masing-masing, Ringgit dan Peso kerana ia hany melibatkan transaksi yang kecil.

Mohd Shafie dan Charles (tengah) berbincang mengenai isu membabitkan Sabah-Filipina

”Jika kita gunakan mata wang sendiri, ia boleh membantu mengukuhkan lagi mata wang Ringgit dan Peso seperti yang kita lakukan bersama Indonesia,” katanya ketika ditemui semasa Kunjungan Hormat Duta Filipina ke Malaysia Charles C. Jose, di sini pada Khamis.

Aktiviti perdagangan tukar barang ini dihentikan serta-merta kerajaan terdahulu pada 6 April 2016.

Mohd Shafie juga menggalakkan Kerajaan Filipina supaya menubuhkan sekolah untuk warga Filipina di Sabah agar anak-anak warga Filipina di negeri ini akan berpeluang untuk memperoleh pendidikan.

Dengan itu, sekurang-kurangnya anak-anak warga Filipina ini mempunyai asas dalam membaca dan menulis.

Dalam kunjungan itu, beliau juga menyentuh tentang usaha bersama bagi menangani masalah penyeludupan dadah.

Katanya, Presiden Filipina Rodrigo Duterte juga mahu isu dadah di negara ini ditangani. Maka, cara terbaik akan dikenalpasti bagi menangani isu ini agar ia tidak berada di luar kawalan.

Sementara itu, Charles berkata, kedutaan itu juga mengalu-alukan langkah Kerajaan Sabah dalam memulakan semula barter trade dengan Filipina itu.

”Namun di peringkat Kerajaan Filipina, kita sedang menyelesaikan beberapa isu dengan meletakkan beberapa mekanisme supaya barter trade ini dapat beroperasi dengan lancar,” katanya.