Kerajaan Sabah Cadang PKPB Dilanjutkan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah mengemukakan permohonan bagi melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Ini susulan peningkatan kes Covid-19 yang masih berlaku.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan kelulusan lanjutan PKPB di Sabah disebabkan kes Covid-19 masih terlalu tinggi.

Beliau berkata, pihaknya hanya boleh mencadangkan lanjutan tetapi sebarang keputusan berkaitan tempoh lanjutan PKPB akan diputuskan oleh MKN.

Beliau berkata demikian semasa sidang media secara atas talian mengenai perkembangan Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Ditanya jika syarat akan diperketatkan sekiranya PKPB dilanjutkan, Masidi berkata, ia bergantung kepada jumlah kes yang dilaporkan.

Jika kes masih tinggi, penting untuk bilangan itu diambil kira oleh MKN bagi menambah lebih banyak syarat dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

PKPB yang dilaksana di seluruh Sabah berkuat kuasa bermula 13 Oktober dan akan tamat pada 26 Oktober ini.