Kerajaan Sabah Buka Semula Sektor Pembinaan Dan Penyelanggaraan, Perhutanan

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan membenarkan sektor pembinaan dan penyelanggaraan dan sektor perhutanan termasuklah rangkaian kedua-dua sektor itu beroperasi mulai hari ini.

Ketua Menteri berkata, aktiviti pembinaan yang dibenarkan beroperasi adalah melibatkan aktiviti seperti kerja-kerja pembinaan bangunan, infrastruktur, kemudahan awam, langskap dan lain-lain sektor pembinaan.

“Aktiviti penyelenggaraan yang dibenarkan beroperasi adalah meliputi aktiviti seperti pembaikan dan pemuliharaan infrastruktur, bangunan, kemudahan awam, lanskap, pemotongan rumput, loji, janakuasa, pembersihan (parit, longkang, bangunan dan sebagainya),  pembentungan, saluran paip air, pengairan dan saliran dan sebagainya.

“Selain itu, aktiviti berkaitan dengan rangkaian dan perkhidmatan sokongan kepada sektor pembinaan dan penyelenggaraan yang meliputi aktiviti kuari batu dan pasir, kilang simen dan klinker, pemotongan bukit dan penimbusan tanah, kedai perkakasan (hardware) , pengangkutan bahan binaan dan sebagainya juga dibenarkan beroperasi.

“Kerajaan negeri juga memutuskan bahawa kebenaran beroperasi sektor pembinaan dan penyelanggaran secara bersyarat yang diluluskan sebelum ini ditarik balik dan terbatal dengan sendirinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Shafie berkata, aktiviti perhutanan huluan (upstream) yang dibenarkan beroperasi adalah melibatkan peladangan hutan, restorasi hutan, silvikultur, pengeluaran dan pengangkutan hasil-hasil hutan dan lain-lain aktiviti perhutanan huluan.

Beliau berkata, aktiviti perhutanan hiliran (downstream) yang dibenarkan beroperasi pula melibatkan kilang papan, kilang vineer, kilang papan lapis, kilang perabot, kilang moulding, finger joint dan kilang-kilang lain pemprosesan berasaskan kayu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rangkaian dan perkhidmatan sokongan terhadap aktiviti huluan dan hiliran perhutanan yang dibenarkan beroperasi adalah logistik pengangkutan darat dan laut, gudang, domestik retail serta import dan eksport.

“Kerajaan negeri ingin menekankan bahawa kebenaran beroperasi sektor pembinaan dan penyelanggaraan (serta rangkaiannya) dan sektor perhutanan (serta rangkaiannya) adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan hendaklah disahkan bebas daripada COVID-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,”katanya.