Kerajaan Sabah Beri Keutamaan Pembangunan Mampan

51

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi jaminan bahawa pembangunan mampan akan sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan sebarang projek pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, persekitaran yang baik akan membolehkan ekonomi Sabah membangun lebih mampan dan stabil.

Beliau berkata, untuk melaksana pembangunan mampan dan seimbang, isu pengurusan sisa buangan, bekalan air, pelepasan karbon, tebatan banjir, bekalan elektrik, sistem perhubungan, penempatan setinggan serta rumah mampu milik perlu ditangani dengan lebih baik dan strategik.

Mohd Shafie berkata, Pelan Tindakan Bandar Hijau Kota Kinabalu (KKGCAP) yang dilancarkan ini amat tepat pada masanya bagi memastikan pembangunan yang dilaksana pada masa depan mengambil kira konsep pembangunan mampan.

Katanya, Dewan Bandaraya Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) boleh menyatukan pelan tindakan sedia ada ini dengan pelan perancangan lain yang sedang dilaksana DBKK dan agensi serta jabatan kerajaan lain.

Mengulas lanjut, beliau mahu konsep Bandar Hijau yang dilaksana DBKK itu dimanfaatkan di daerah kecil lain di Sabah.

”Konsep sebegini boleh dimanfaatkan oleh daerah yang kecil dalam menguruskan pembangunan di daerah mereka. Jadi, saya harap DBKK dapat berkongsi konsep ini dengan 26 daerah lain di Sabah.

”Kita memerlukan maklum balas semua pihak berkepentingan jadi, sumbangan semua daerah dalam membangunkan strategi pembangunan bandar hijau harus diambil kira,” katanya semasa Majlis Perasmian Konvensyen Antarabangsa Bandar Hijau Borneo, di sini pada Khamis.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.

Mohd Shafie berkata, Malaysia bersetuju untuk mengurangkan pelepasan karbon kepada 20 peratus semasa Konvensyen Paris 2015. Untuk itu, Sabah harus menyumbang kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon itu.

Menurutnya, walaupun ada perubahan yang boleh dilihat namun, masih banyak perkara yang boleh dilakukan termasuk mengubah cara hidup bagi melihat usaha melaksana bandar mampan dapat dijayakan.