Kerajaan Sabah Ambil Pendekatan Komprehensif Bantu Pengusaha Pengangkutan Awam

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengambil pendekatan komprehensif dalam memastikan pengusaha pengangkutan awam terus dibantu ketika beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan tahap enam (PKP 6).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, memandangkan pengusaha pengangkutan awam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan maka, mereka terpaksa mengehadkan kapasiti penumpang dalam setiap kenderaan.

Katanya, tindakan mengehadkan kapasiti penumpang itu bagi memastikan jarak selamat satu meter dapat dipraktikkan dalam pengangkutan awam agar dapat mencegah jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, setiap pengusaha pengangkutan awam sama ada pengangkutan darat, laut dan udara diwajibkan mematuhi SOP ditetapkan dengan menggunakan 50 peratus sahaja kapasiti tempat duduk dalam pengangkutan tersebut.

“Misalnya, penggunaan bas hanya boleh menggunakan 50 peratus sahaja kapasiti tempat duduk yang ada.

“Saya maklum bahawa ada pihak yang mengadu, bas dari Kota Kinabalu ke Menumbok atau Kuala Penyu kalau hanya muatkan separuh, ia tidak boleh menampung kos operasi perjalanan tersebut.

“Maka, kerajaan akan mencari jalan bagaimana untuk membantu mereka ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota keselamatan, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau juga telah meminta syarikat penerbangan supaya menambah kekerapan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Tawau, Sandakan dan Lahad Datu sepanjang PKP.

Bagaimanapun, ruangan tempat duduk yang digunakan di dalam pesawat juga tidak harus dipenuhi sepenuhnya.

Beliau berkata, daripada pesawat dan kenderaan pengangkutan awam itu tidak bergerak dan terkandas di parkir, lebih baik mereka beroperasi. Biarpun mungkin hasil diperoleh hanya separuh tapi, sekurang-kurangnya ia dapat menampung kos operasi mereka.

Dalam majlis itu, lebih 30 agensi kerajaan, kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan memberikan sumbangan kuih-muih untuk diagihkan kepada sembilan agensi keselamatan.