Kerajaan Sabah Akan Teliti Kualiti Perkhidmatan Kesihatan LuarBandar

2236
Shafie Apdal diberikan penerangan oleh Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr. Christina Rundi (kanan) sewaktu melawat bilik rawatan selepas merasmikan bangunan radiologi Hospital Duchess Of Kent Sandakan semalam. Turut hadir Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Stephen Wong Tien Fatt.

SANDAKAN: Kerajaan Sabah akan melihat kualiti perkhidmatan kesihatan di kawasan-kawasan tertentu di negeri itu khususnya di luar bandar.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini bagi memastikan seluruh rakyat Sabah mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

“Sudah sampai masanya untuk melihat kualiti perkhidmatan kesihatan diberikan di kawasan diperlukan di negeri ini termasuk di kawasan luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan radiologi baharu Hospital Duchess of Kent Sandakan di sini, semalam (Isnin).

Pada masa sama, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sedar kerjasama baik dengan kerajaan persekutuan adalah penting untuk menjayakan usaha tersebut.

Shafie bercakap dengan media massa di Sandakan – Ketua Menteri memastikan seluruh rakyat Sabah mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata perkhidmatan kesihatan untuk rakyat adalah antara keutamaan beliau sejak menerajui kerajaan negeri itu dan komitmen berkenaan direalisasikan menerusi penubuhan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang diketuai Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Penubuhan kementerian itu tidak bermakna kerajaan negeri tidak yakin dengan peranan Kementerian Kesihatan pusat namun lebih kepada melengkapi peranan peringkat pusat memandangkan Sabah sebuah negeri yang besar dan memerlukan perhatian penuh, katanya.

Naik taraf hospital itu yang menelan belanja RM7.6 juta siap sepenuhnya pada Ogos lepas dan turut merangkumi pemasangan peralatan baharu antaranya mesin ‘fluroscopy’, imbasan tomografi berkomputer, mamografi dan ultrabunyi.

Mengenai bangunan radiologi itu, Mohd Shafie berkata ia dapat menampung peningkatan keperluan pesakit dari hospital dan daerah berdekatan iaitu Beluran, Kinabatangan, Telupid serta Tongod, sekali gus mereka tidak lagi perlu ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan berkaitan.

Terlebih dahulu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata , sejumlah 971 pengunjung menggunakan perkhidmatan Jabatan Radiologi Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan sejak ia dibuka pada 7 Ogos hingga 18 September lepas.

Wong berkata daripada jumlah itu, 513 orang telah mendapatkan perkhidmatan ultrasound, 432 orang (Perkhidmatan CT Scan), 11 (Mamogram) dan 15 orang (Perkhidmatan Fluroscopy).

Justeru, Wong yang juga Anggota Parlimen Sandakan berkata kos pembinaan bangunan baru Radiologi HDOK yang menelan belanja sebanyak RM7.6 juta adalah suatu perbelanjaan yang bijak untuk dilaksanakan.

“Saya berharap dengan Bangunan Radiologi yang baru ini, lebih ramai boleh menikmati perkhidmatan yang lebih berkualiti di Sandakan dan sekitarnya.

Pada masa sama, HDOK Sandakan diharap akan diberikan lagi lebih perhatian oleh pihak Kementerian Kesihatan dan memberikan lagi pembangunan infrastruktur serta kemudahan bagi menampung peningkatan pesakit,” katanya.

Terdahulu, Pengarah HDOK Sandakan Dr Francis Paul dalam taklimatnya berkata sepanjang 2017, 97,100 orang mengunjungi Klinik Pakar di hospital itu, 77,024 orang di Unit Kecemasan dan 14,360 orang pesakit rawatan harian.