Kerajaan Sabah Akan Ambil Alih Pemilikan SESB – Yeo Bee Yin

4674

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Hak pemilikan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan dipulangkan semula kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh dua tahun ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata, bagaimanapun ia terpulang kepada hasil perbincangan yang diputuskan melalui jawatankuasa khas yang dibentuk dalam proses pemulangan semula hak pemilikan itu.

Katanya, perbincangan itu juga akan melihat sama ada pemilikan itu perlu melibatkan sektor swasta ataupun bergantung sepenuhnya kepada sektor awam sahaja.

Beliau berkata, dua jawatankuasa khas itu adalah Jawatankuasa Khas Kewangan yang akan melibatkan Kementerian Kewangan; serta Jawatankuasa Khas Teknikal yang akan membabitkan MESTECC dan Kerajaan Negeri Sabah.

Shafie Apdal sedang berbincang dengan Yeo Bee Yin mengenai SESB.

Katanya, pembentukan kedua-dua jawatankuasa serta anggotanya akan dilakukan secara rasmi setelah mendapat jawapan rasmi daripada Kerajaan Sabah.

Yeo berkata, penubuhan dua jawatankuasa itu dipersetujui melalui Kabinet Persekutuan sebagai usaha menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan bagi memulakan langkah memulangkan semula pemilikan SESB kepada Kerajaan Sabah.

”Dengan pemulangan itu, rombakan semula akan dilakukan bagi memastikan aspek kewangan dan teknikal digunakan secara optimum supaya SESB dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat di Sabah.

”Kita juga mahu memastikan sistem bekalan elektrik di Sabah lebih mampan dan kurang gangguan penghantaran dan penyaluran elektrik,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apal, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah di sini pada Jumaat.

Bangunan SESB di Kota Kinabalu.

Yeo berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal juga turut mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam memulangkan semula hak pemilikan SESB kepada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri itu juga berharap rakyat Sabah akan memperolehi manfaat sepenuhnya menerusi pemulangan hak berkenaan.

Dalam pada itu, Yeo berkata, setelah hak pemilikan SESB dipulangkan kepada Kerajaan Negeri, Sabah akan diberi kepercayaan untuk merancang dan menguruskan sendiri bekalan dan keperluan tenaga di Sabah melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (STS) yang akan ditubuhkan kemudian.

Ia kerana selama ini perancangan tentang bekalan tenaga di Sabah dikendalikan melalui Putrajaya. Oleh itu, MESTECC mahu kuasa diberi sepenuhnya kepada Kerajaan Sabah dalam mengendalikan bekalan tenaga sendiri.

”Apabila STS ini ditubuhkan, kita akan lihat bagaimana Kerajaan Sabah boleh mengawal selia bekalan tenaga di Sabah.

”Namun, penubuhan STS akan mengambil masa kerana ia melibatkan aspek teknikal dan perlu dilakukan secara berhati-hati,” ujarnya.