Kerajaan Rancang Susun Penempatan Setinggan Dengan Lebih Teratur

246

Oleh MG THOMAS
KOTA BELUD: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan merancang untuk menyediakan penempatan setinggan yang lebih tersusun di Sabah.

Bagaimanapun perancangan itu akan mengambil masa berikutan penempatan sebegitu bukan mudah untuk dilaksanakan, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong.

Beliau berkata, itu antara langkah kerajaan melakukan penyusunan semula penempatan setingggan agar ianya lebih teratur dan selamat.

Katanya, kerajaan sedar banyak kawasan setinggan yang terdapat di Sabah maka, langkah perlu diambil bagi memastikan penempatan setinggan itu lebih teratur supaya apabila berlaku kebakaran ada ruang untuk bomba memasuki penempatan sebegitu.

Menurutnya, kerajaan akan menyusun rumah setinggan agar ianya menjadi lebih teratur termasuk menyusun penyambungan bekalan-bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

Dalam insiden kebakaran di Kampung Karamunting Baru, Sandakan, Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan ini berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap mangsa-mangsa kebakaran di rumah setinggan di Sabah.

Beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan setinggan agar sentiasa keselamatan diri dan juga rumah masing-masing bagi mengelakkan berlakunya kebakaran.

“Musibah seumpama ini sering berlaku dan ia melibatkan kos jutaan ringgit untuk pembinaan semula penempatan, “katanya ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kampung Pirasan, di sini pada Ahad.

Beliau juga menyarankan mangsa kebakaran supaya sentiasa bersabar dan bertenang dalam berdepan dengan dugaan besar sebegitu.

Kerajaan akan cuba mengambil langkah penyelesaian jangka panjang dengan melakukan penyusunan yang lebih teratur di kawasan setinggan.

Menurutnya, Sandakan antara daerah yang paling banyak penempatan setinggan selain di Semporna dan Tawau serta beberapa kawasan lain.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Adun Tempasuk Datuk Musbah Jamli dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah Murni Roslee.