Kerajaan PN Tidak Stabil, Lemah

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) yang tidak stabil, lemah, keliru, bercanggah sesama sendiri

dan melanggar undang-undang bukanlah model yang baik untuk Sabah.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pilihan raya ini telah membuktikan dengan jelas bahawa PN atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dicadangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menentang Warisan Plus, adalah kerajaan yang tidak stabil.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, GRS gagal untuk bersatu di bawah seorang calon ketua menteri selain gagal bersetuju untuk tidak bertanding antara satu sama lain dalam 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebaliknya Warisan Plus yang terdiri daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN), DAP, Parti Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak melawan satu sama lain di mana-mana kerusi dan bersetuju untuk mengekalkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon ketua menteri.

“Sama seperti dua timbalan menteri yang tidak menunjukkan sebarang rasa hormat kepada Veveonah Mosibin, Muhyiddin tidak menunjukkan rasa hormat kepada pengundi Sabah, kerana dia atau Putrajaya cuba memutuskan siapa yang akan menjadi ketua menteri Sabah berikutnya.

“Wajarkah Sabah tunduk kepada GRS atau Muhyiddin?,” katanya menerusi satu kenyataannya di sini.

Mengulas lanjut, Guan Eng ketika Muhyiddin mempunyai hanya majoriti dua kerusi di Parlimen, rakyat tidak menyangka ada dalam kalangan jemaah menterinya  bercanggah sesama sendiri, tidak mematuhi undang-undang, membangkitkan sentimen perkauman dan agama atau menyebarkan berita palsu.

“Ada beberapa contoh iaitu

sokongan PAS kepada ahli parlimennya yang enggan meminta maaf kerana menghina penganut Kristian dengan ucapannya yang penuh dengan hasutan bahawa kitab Bible terpesong;

“Selain itu, dua timbalan menteri   menyebarkan berita palsu dan bukannya mengamalkan slogan kerajaan PN sendiri, yakni “Tidak Pasti, Jangan Kongsi”, dan telah melakukan buli siber terhadap seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sabah (UMA) berusia 18 tahun, hanya kerana dia mendedahkan bahawa dia terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik di Pitas, Sabah,” katanya.

Selain itu katanya, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan timbalan menteri  mendesak sekolah vernakular dihapuskan walaupun sudah wujud sejak sebelum merdeka.

“Kita juga terkejut apabila kompaun ‘manja” RM1,000 terhadap seorang menteri (PAS) kerana melanggar protokol keselamatan COVID-19 untuk kuarantin rumah 14 hari sekembalinya dari Turki, sedangkan seorang wanita Melayu berusia 72 tahun telah didakwa di mahkamah dan dihukum dengan denda RM8,000 serta dipenjarakan selama sehari.

Membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengamalkan peraturan “antara dua darjat”(double-standard) dengan gagal bertindak terhadap Timbalan Menteri Pertahanan kerana mencadangkan anaknya dilantik ke Lembaga Pengarah Pharmaniaga, yang berada di bawah naungan Kementerian Pertahanan,” katanya.

Guan Eng berkata, Menteri Kewangan juga berbohong bahawa kontrak rundingan terus sebanyak RM6.61 bilion telah dianugerahkan oleh PH, sedangkan hanya RM352 juta berasal daripada kerajaan PH, manakala baki RM6.3 bilion adalah projek zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT) juga berbohong bahawa saya sendiri telah merundingkan sebuah projek kilang sisa pepejal bernilai RM170 juta dengan pengurangan 10 peratus sedangkan surat  membuktikan bahawa permohonan rundingan terus dibuat oleh KPKT sendiri,” katanya.

Pada Sabtu katanya, rakyat Malaysia telah melihat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara terbuka menyangkal kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai kemungkinan mengenakan kuarantin wajib kepada mereka dari Semenanjung yang telah pergi ke Sabah untuk pilihan raya negeri, sebaik sahaja mereka pulang ke Semenanjung.