Kerajaan Pimpinan Warisan Terus Fokus Berkhidmat Kepada Rakyat

1063

KOTA KINABALU: Kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Kimanis dan seluruh negeri Sabah biarpun kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan akan terus berusaha memperbaiki ekonomi, sistem pendidikan dan pembangunan infrastruktur di negeri ini.

”Bagi pihak Parti Warisan Sabah, kita terima keputusan para pengundi di Kimanis. Mereka telah bersuara dan mereka telah pun membuat keputusan.

“Kita juga bertanggungjawab atas kekalahan calon parti dalam PRK ini.

“Apa yang penting, kita perlu bersikap rendah diri dan sentiasa utamakan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau bersyukur kerana PRK Parlimen Kimanis berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya berterima kasih kepada para pengundi yang telah keluar beramai-ramai, sekali gus menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi pada hari pengundian.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jentera parti yang bekerja kuat dan memberi sumbangan dalam PRK ini,” jelasnya.

Dalam PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari lalu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin menang dengan majoriti 2,029 undi mengalahkan calon Warisan, Datuk Karim Bujang.

Mohamad mendapat 12,706 undi sementara Karim hanya memperolehi sebanyak 10,677 undi.