Kerajaan Peruntuk RM2.3 Juta Laksana Projek Pembangunan Sumber Air Bawah Tanah Sabah

Ewon ketika merasmikan Telaga Kampung Piasau, turut kelihatan Paulus (dua dari kiri).

KOTA BELUD: Kerajaan persekutuan melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah telah memperuntukkan kira-kira RM2.3 juta pada tahun ini untuk melaksanakan lima projek pembangunan berkaitan sumber air bawah tanah di seluruh Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, lima projek pembangunan berkaitan sumber air bawah tanah itu ialah Projek Penilaian Rezab Air Tanah di Lembangan Kedamaian (Kota Belud) dan Projek Pembangunan Sumber Air Tanah di Kawasan Bermasalah Bekalan Air Bersih di beberapa daerah.

Selain itu katanya, projek pembangunan sumber air itu juga termasuklah Projek Penggunaan Air Tanah Sebagai Sumber Air di Loji-loji Rawatan Air yang menghadapi kekuranagan sumber air dan Program Pembangunan Water Balance bagi pengurusan sumber air negara bersama Jabatan Pengairan dan Saliran dan Program Pencegahan kebakaran dan pengurusan Tanah Gambut di daerah Beaufort dan Kuala Penyu bersama Jabatan Alam sekitar.

“Dalam Rancangan Malaysia ke11 (RMK-11) iaitu, sejak 2016 sehingga kini, JMG Sabah di bawah Projek Bekalan Air Bersih di Kawasan Bermasalah Air telah membina telaga tiub dan sistem penapisan di beberapa kawasan yang menghadapi masalah bekalan air di seluruh Sabah.

Ewon (kanan) dan Jimmy membuka paip sebagai simbolik perasmian Telaga dan Sistem Penapisan Air Kg.Piasau.

“Telaga tiub dan sistem penapisan yang telah dibina ialah di Kampung Dudar Kota Belud (2016),Kampung Sarang Kota Belud (2016), Kampung Timbang Dayang Kota Belud (2017), Kampung Tangkol Kota Marudu (2017), Kampung Pompodon Kota Marudu (2018) dan Kampung Piasau Kota Belud (2018). Secara keseluruhannya ia melibatkan kos lebih kurang RM700,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ketika menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di Kampung Piasau yang dilaksanakan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, di Dewan Kampung Piasau, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, bagi telaga dan sistem penapisan air di Kg.Piasau Kota Belud, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM60,000 untuk menampung kos kerja-kerja kajian potensi sumber air bawah tanah, membina telaga tiub dan membangunkan sistem penapisan air bawah tanah.

“Saya difahamkan bahawa, telaga dan sistem penapisan ini berupaya mengeluarkan air sebanyak 48,000 liter sehari (berdasarkan pengepaman selama 12 jam secara berterusan). Telaga dan sistem penapisan yang dibina ini adalah yang pertama dibina menggunakan konkrit atau culvert.

“Ia merupakan satu inisiatif dan inovasi dari JMG Sabah. Pembinaan telaga ini dimulakan pada September 2018 manakala sistem penapisan siap sepenuhnya pada Mac 2019. Ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk Kampung Piasau,” katanya.

Beliau berkata, KPLB Sabah menyokong usaha JMG Sabah dan berharap usaha murni itu dapat diteruskan untuk manfaat seluruh rakyat Sabah khususnya di kawasan luar bandar.

“Ini adalah antara usaha kerajaan untuk menyediakan bekalan air alternatif luar bandar kepada penduduk kampung yang sering menghadapi masalah air.

“Kita berharap JMG Sabah akan meneruskan usaha murni ini untuk membantu menyelesaikan masalah air terutamanya di kawasan luar bandar.

“Saya juga difahamkan bahawa JMG Sabah telah mengenalpasti beberapa lokasi dalam daerah Pitas, Ranau, Kota Marudu dan Kota Belud untuk melaksanakan pembinaan telaga dan sistem penapisan pada tahun ini dan tahun depan,” katanya.

Ewon ketika melawat pameran daripada JMG Sabah.

Mengenai program Bekalan Air Bersih Luar Bandar (BALB) Alternatif KPLB, Ewon berkata, beliau telah mengesyorkan agar kementeriannya diberi peruntukan khas dalam Bajet Negeri 2020.

“Saya telah melawat banyak kampung di luar bandar dan selepas meneliti perincian program-program sedia ada yang ada Bajet di KPLB Sabah, saya melihat ada keperluan untuk kita mengadakan bajet sendiri di bawah kerajaan negeri untuk beberapa perkara termasuk BALB, Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif dan Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Bagi input RP4, kita telah mengsyorkan satu peruntukan khas bagi BALB Alternatif sebanyak RM5 juta dan BELB Alternatif sebanyak RM5 juta. Projek BELB Alternatif dan BALB Alternatif ini adalah dua projek baharu KPLB Sabah dan pilot projek ini akan diaksanakan di Sabah masing-masing melibatkan 10 buah kampung.

“Kita memperkenalkan dua projek baharu ini untuk memastikan sasaran KPLB Sabah menyediakan bekalan air dan elektrik kepada semua kampung luar bandar di negeri ini menjelang 2035 akan tercapai,” katanya.

Ewon berkata, BALB Alternatif bakal memberikan manfaat kepada kampung-kampung terpencil yang tidak dapat dicapai oleh bekalan air daripada Jabatan Air.

“Begitu juga dengan BELB Alternatif untuk manfaat kampung terpencil yang tidak dapat dicapai oleh sistem grid SESB, tetapi mempunyai anak sungai yang kita boleh bangunkan untuk membina mini hidro atau mikro hidro elektirik untuk tenaga elektirik di kampung berkenaan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah JMG Sabah Paulus Godwin, wakil daripada Pejabat Perancangan dan Pelaksanaan Operasi, JMG Malaysia Mazlan Mohd Zaini, Ketua Aktiviti Hidrogeologi, JMG Sabah Jaineh Lingi, Pengerusi MPKK Kg. Piasau Jimmy Barukang, ketua-ketua Unit dan Ketua Aktiviti JMG Sabah.