Kerajaan Persekutuan Tidak Hormati Autonomi Sabah Dalam Pentadbiran Kampung

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) mempertikaikan tindakan kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak menghormati hak autonomi kerajaan Sabah dalam isu pelantikan pentadbiran di peringkat kampung.

Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang berkata, pengwujudan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dilihat akan mengakibatkan pertindihan tugas dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dilaksana di Sabah.

Beliau berkata, usaha mewujudkan JPKKP ini hanya akan memecahbelahkan penyatuan masyarakat di setiap kampung.

Katanya, beliau percaya segala bentuk bantuan dan pengurusan terpaksa dibahagi antara JPKKP dan MPKK.

Maka, untuk elak berlaku perpecahan, Pemuda UPKO berharap kerajaan persekutuan menghormati dan memberikan kepercayaan terhadap institusi MPKK sedia ada untuk mentadbir di peringkat kampung.

Felix berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan persekutuan seharusnya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembangunan ekonomi negara selepas terencat seketika akibat penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Kerajaan seharusnya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ekonomi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau turut menyokong kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick bahawa tiada keperluan mewujudkan JPKKP di negeri ini.

Ini kerana MPKK sedia ada sudah cukup baik dan tiada keperluan dijenamakan semula kepada JPKKP.

“Pentadbiran kampung sedia ada di Sabah sudah cukup baik dan tidak perlu dijenamakan semula untuk penambahbaikan,” ujarnya.