Kerajaan Persekutuan Peruntuk RM1 Juta Pindah Batu Sumpah

Batu Sumpah di Keningau. – Gambar dari internet

KENINGAU: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.025 juta untuk membiayai projek penempatan semula Batu Sumpah yang kini diletakkan di hadapan Pejabat Daerah Keningau.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata satu lokasi strategik dikenal pasti bagi menempatkan batu bersejarah itu, sekali gus memudahkan orang ramai atau pelancong melihat Batu Sumpah berkenaan yang juga menjadi mercu tanda utama di daerah itu.

“Projek yang dikategorikan di bawah Pelan Pusingan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia ke-11 itu merangkumi kerja-kerja seperti pemindahan Batu Sumpah, pembinaan jalan, tembok bersejarah dan penyediaan tempat letak kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 1Malaysia Voluntourism Plant A Tree dan Pelancaran Tahun Melawat Keningau 2018, di Muzium Warisan, dekat sini hari Selasa.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Masidi Manjun.

Batu Sumpah merupakan satu peringatan sejarah yang sangat penting, bukan sahaja untuk daerah Keningau dan Sabah, tetapi juga pewujudannya berkait rapat dengan pembentukan Malaysia.

Batu bersejarah itu dirasmikan Menteri Buruh V. Manickavasagam pada 31 Ogos 1964 dengan disaksikan Ketua Menteri Sabah Fuad Stephens yang mewakili Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu, serta pegawai kerajaan dan ketua-ketua etnik penduduk tempatan di hadapan Pejabat Daerah Lama Keningau pada ketika itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Muzium Sabah akan mewartakan Batu Sumpah itu sebagai Warisan Budaya di bawah Enakmen Warisan Budaya (Pemuliharaan 1997) Sabah, sebaik kerja-kerja pemindahan selesai dilakukan.

“Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Warisan Negara juga akan memohon kepada kerajaan negeri untuk mewartakan Batu Sumpah itu sebagai Objek Warisan di bawah Seksyen 49 Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645),” katanya.