Kerajaan Persekutuan Ambil Alih Laksana Lebuh Raya Pan Borneo Sabah

1218

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kabinet Pusat hari ini memutuskan untuk mengambil alih pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah (LPB) yang akan diletakkan di bawah Kementerian Kerja Raya.

Kementerian tersebut dalam satu kenyataan berkata, Pegawai Penguasa Projek adalah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan dibuat selaras dengan usaha kerajaan mengoptimumkan kos bagi projek-projek yang memberi implikasi kepada kewangan negara.

Katanya, kerajaan turut memutuskan menambah tiga lagi pakej baharu menjadikan 15 keseluruhannya berbanding 12 pakej yang ada sebelum ini.

“Kerajaan bersetuju supaya pelaksanaan projek LPB Sabah diperluaskan dengan penambahan tiga lagi pakej kerja yang akan ditender dalam masa terdekat selain daripada 12 pakej kerja yang sedang dilaksanakan.

“Berikutan itu penilaian terperinci sedang dijalankan pada keseluruhan kontrak Kontraktor Pakej Kerja (Work Package Contract – WPC) dan perunding yang telah dilantik bagi membolehkan proses peralihan berjalan dengan lancar dan teratur,” kata kementerian itu.

Tambah kementerian itu, perubahan model pelaksanaan tersebut tidak akan menjejaskan komitmen kerajaan bagi memastikan kelangsungan projek LPB Sabah sebagai pemangkin pembangunan sektor sosio-ekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek berkenaan.