Kerajaan Perlu Dedah Tindakan Tangani Skandal LCS Kepada Umum – Shafie

KOTA KINABALU : Kerajaan perlu mendedahkan kepada umum mengenai tindakan menangani skandal pembelian Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu penting memandangkan ia melibatkan jumlah kewangan negara yang besar selain laporannya sudah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Saya bangkitkan di Parlimen sebenarnya tentang perkara ini, cuma bila dibangkitkan, masalah itu tidak diatasi.

“Hal ini (LCS) sudah menjadi pengetahuan umum dan tidak sepatutnya laporan PAC itu diragui.

“Maknanya, kalau laporan audit, ia menjadi public info yang perlu diatasi masalah ini kerana perkara ini cukup besar, kewangan dia yang menelan belanja sampai berbillion.

“Kita kena tahu dan kita kena mengatasinya dan ambil tindakan tertentu untuk memastikan bukan hanya ia dapat diatasi tetapi perkara sama tidak akan berulang lagi di masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata demikian ketika menjawab soalan daripada warganet yang ingin tahu adakah isu berkaitan LCS patut dibahaskan secara umum dalam sesi Facebook live “Let’s Talk”, semalam.

Khamis lalu, PAC mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

BNS adalah anak syarikat Boustead Holdings Bhd, yang mana pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).