Kerajaan Perlu Cari Inisiatif Pertingkatkan Pendaftaran Penerima Vaksin COVID-19 Di Sabah

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mencari inisiatif dan menggerakkan pendaftaran vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah sebagai usaha untuk memastikan penduduk Sabah terutama kawasan luar bandar dan pendalaman menerima vaksin.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Fahrid Arastam berkata, setakat 27 Mac lalu jumlah pendaftar vaksin di Sabah masih terlalu rendah.

“Walaupun Sabah menduduki tempat ke lapan daripada 16 negeri termasuk Wilayah Persekutuan dengan 323,556 pendaftar, namun dari segi peratusan hanya 11.03 peratus penduduk Sabah telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

“Peratusan pendaftaran vaksin kedua terendah selepas Sabah adalah Kelantan (17.05 peratus), Terengganu (23.04 peratus), Pahang (23.68 peratus) dan Kedah (24.01 peratus).

“Manakala pendaftaran tertinggi penerima Vaksin pula ialah Putrajaya (82.20 peratus), Kuala Lumpur (41.02 peratus), Selangor (40.87 peratus), Pulau Pinang (36.45 peratus) dan Negeri Sembilan (35.54 peratus).

“Tidak sampai 12 peratus rakyat Sabah mendaftar sebagai penerima vaksin dan ini sangat mendukacitakan. Kita tidak mahu rakyat Sabah terutama yang berada di pedalaman terlepas daripada menerima vaksin bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fahrid berkata lagi, walaupun Sabah berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun program vaksinasi amat penting memandangkan penularan yang dahsyat ini bermula dari Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Malah beberapa kawasan di Kota Belud masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selepas Nabawan,” katanya.

Sehubungan itu, Fahrid berkata, usaha menjejaki mereka yang belum mendaftar perlu dipergiatkan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mengalami kesukaran mendapatkan capaian internet.

“Pihak kerajaan tidak boleh bergantung kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain untuk menggerakkan kaunter pendaftaran penerima vaksin.

“Kerajaan perlu mencari inisiatif dan menggerakkan pendaftaran rumah ke rumah bagi mendaftar penduduk kawasan luar bandar dan pendalaman,” katanya.