Kerajaan Perlu Belajar Dari Kesilapan – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa untuk mengenal pasti masalah di lapangan terlebih dahulu sebelum mengedarkan komputer riba atau gajet untuk pelajar di luar bandar.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pemberian komputer riba akan menjadi satu pembaziran sekiranya ia tidak boleh digunakan kerana tiada bekalan elektrik mahupun liputan internet.

Beliau berkata, kerajaan perlu belajar daripada kesilapan lalu yang menyaksikan pemberian komputer riba tidak memberi akan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat di luar bandar dan pedalaman kerana tiada bekalan elektrik dan liputan internet.

Untuk itu, beliau mencadangkan adalah lebih baik untuk wang yang digunakan untuk membeli komputer riba dan gajet itu dipakai untuk membeli vaksin untuk disuntuk kepada tenaga pengajar dan pelajar sekolah.

Semasa Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi Menteri Pelajaran Malaysia, hampir RM700 juta dibelanjakan untuk memberi komputer kepada semua sekolah termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Bagaimanapun, apabila saya mengadakan lawatan selaku Menteri kampung (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), saya dapati komputer yang diberikan tidak dapat digunakan kerana sekolah tersebut tiada bekalan elektrik.

“Atas sebab itu, apabila kita mengurus tadbir negara, kita tidak boleh menganggap kita tahu semua perkara, kita memberikan komputer kepada pelajar untuk membantu dalam pembelajaran mereka tapi bayangkan jika komputer kepada pelajar di Kota Marudu dan Pitas yang tiada bekalan elektrik dan tiada akses internet.

“Dalam melaksanakan dasar kerajaan, kita kena berfikir jika ia benar-benar memberikan manfaat kepada pelajar,” katanya semasa Program ‘Bicara Presiden’ secara langsung menerusi Facebook Warisan Online semalam.

Buat masa ini apa yang jauh lebih penting adalah memberikan vaksin kepada guru-guru dan pelajar agar sesi persekolahan secara bersemuka dapat dibuka semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Biarpun sudah divaksin, pelajar juga perlu mengamalkan langkah pencegahan apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka kelak.

Ahli Parlimen Semporna yang juga ADUN Senallang ini berkata, sesi pembelajaran secara bersemuka itu amat penting kerana negara perlu melahirkan masyarakat yang berilmu dan berkemahiran bukan sekadar melahirkan pelajar yang lulus peperiksaan dengan cemerlang semata-mata.

Tambahnya, penstrukturan sistem pendidikan perlu dilakukan dan pembinaan menara telekomunikasi di kawasan luar bandar perlu disegerakan.