Kerajaan Perlu Atasi Masalah Had Umur Baharu Kepada Pertubuhan Sabah

Vivian bersama Ketua Menteri Sabah, serta keluargnya dan pemimpin DAP dari Sabah.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diminta mencari jalan penyelesaian kepada kesan penetapan had umur belia kepada 30 tahun terhadap pertubuhan-pertubuhan belia di Sabah yang kini dipimpin individu berumur 30 tahun ke atas.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata, lebih 80 peratus daripada pemimpin belia di Sabah melebihi had umur baharu itu, justeru prestasi setiap pertubuhan terlibat perlu diambil perhatian.

Vivian yang menyokong pindaan itu berkata, sebagai contoh di Sandakan, kebanyakkan belia berumur 18 hingga 30 tahun telah berhijrah untuk melanjutkan pelajaran manakala yang tinggal sama ada lebih tua atau masih terlalu muda.

Gambar Facebook.

“Walaubagaimanapun, saya risau pindaan ini akan menjejaskan kawasan-kawasan seperti di Sandakan kerana masalah yang kami hadapi adalah kebanyakkan golongan 18 hingha 30 tahun telah pun berhijrah ke bandar besar untuk melanjutkan pelajaran oleh kerana ketiadaan universiti di Sandakan dan seterusnya menetap di bandar besar.

“Saya bimbang masalah ini kerana rakyat yang di bawah jagaan saya di Sandakan adalah golongan pelajar hingga tingkatan 6 dan golongan yang berumur lebih tua daripada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

RUU tersebut yang dibentangkan Kementerian Belia dan Sukan dan telah diluluskan mentakrifkan umur belia bermula 15 hingga 30 tahun sahaja.

Dalam cadangannya, Vivian meminta pihak kementerian agar masih memanfaatkan golongan berumur 30 hingga 40 tahun supaya pengalaman dan kemahiran mereka masih boleh digunakan atau menjadi rujukan kepada belia.

Menurut Vivian, dalam memperkasa golongan belia, kerajaan perlu peka kepada cabaran masa kini yang dihadapi golongan itu terutama perkembangan teknologi yang pesat.

“Kadar perubahan teknologi dalam dekad yang lalu yang begitu cepat juga membuatkan kita sedar bagaimana atau betapa berbezanya generasi masa kini

“Dengan penurunan umur belia, adakah akan wujudnya ketegangan baharu dalam kalangan ‘yang muda’ dan ‘yang tak muda’ dalam masyarakat kita.

“Dan jika ketegangan ini tidak diuruskan dengan sewajarnya, konflik baharu mungkin muncul dalam masyarakat kita,” jelas beliau.

BERITA BERKAITAN: –

Umur 31 Kini ‘Orang Tua’ Bukan Lagi Belia