Kerajaan Perincikan Kaedah Terbaik Atasi Masalah Setinggan Di Sabah

7028

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengkaji dan memperincikan kaedah terbaik untuk menyelasaikan masalah perkampungan setinggan di Sabah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata kerajaan akan mangambil pendekatan jangka pendek dan panjang untuk menyelasaikan masalah perkampungan setinggan yang ada di negeri ini.

“Kita tidak mahu semakin ramai penduduk tempatan yang tinggal di kawasan setinggan…ini bukan sahaja (perkampungan setinggan) di Kota Kinabalu, tetapi banyak juga perkampungan setinggan di kawasan lain seperti di Sandakan dan Tawau.

“Kerajaan akan cuba mengatasi masalah ini dan kita sedar untuk menyelasaikan perkampungan setinggan ini memakan masa dan tidak boleh diselesaikan dalam masa setahun atau dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Cenderamata Dua, Likas yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Likas, dekat sini Rabu.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 2.30 petang Selasa, sekurang-kurangnya 150 buah rumah musnah dijilat api.

Mohd Shafie berkata kebakaran itu melibatkan kira-kira 750 mangsa yang mana seramai 600 orang adalah penduduk tempatan.

“Kerajaan akan membantu mangsa berkenaan terutamanya dalam tempoh jangka pendek…kita perlu pindahkan mereka ke tempat yang lebih selesa dan sesuai disebabkan dewan ini sempit dan tidak selesa.

“Apa yang penting kita perlu pastikan keselamatan dari segi kesihatan. Kita mahu anak-anak dan orang tua yang memerlukan perhatian dari segi perubatan diberikan tumpuan dan saya telah arahkan Kementerian Kesihatan peringkat negeri untuk menguruskan perkara itu,” tambahnya.

Terdahulu, Menetri Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Stephen Wong Tien Fatt berkata pihaknya akan memastikan kebajikan mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata Dua, Likas dekat sini, diberi perhatian sewajarnya.

Stephen berkata berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat penuh mengenai kejadian bagi membolehkan tindakan segera diambil termasuk menyalurkan bantuan dan keperluan mangsa terlibat.

“Setakat ini, kita belum mendapat laporan tepat mengenai berapa ramai mangsa kebakaran tetapi tindakan segera telah diambil termasuk membeli keperluan penduduk terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama.