Kerajaan Pastikan Pelancong Keluar & Masuk Sabah Dikenakan Saringan Kesihatan

48

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan semua pelancong yang masuk dan keluar dari negeri ini perlu menjalani saringan kesihatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan amat prihatin dengan penularan koronavirus yang kini melanda Wuhan, China dan langkah pencegahan telah diambil.

Beliau berkata, pemasangan peralatan bagi mengesan individu yang mengalami demam telah ditempatkan di pintu-pintu masuk utama di negeri ini.

“Bukan hanya penumpang yang berlepas ke luar negara, penumpang yang tiba dari luar negara juga perlu menjalani saringan kesihatan. Kita mahu memastikan mereka ini cukup sihat.

“Biarpun kita menggalakkan pelancong dari pelbagai negara termasuk China datang ke Sabah namun, kerajaan China telah mengeluarkan larangan rakyat mereka keluar negara bagi mengelakkan penyakit ini terus merebak,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan Sabah dalam mencegah penularan koronavirus ke negeri ini.

Sehingga kini, empat kes positif Novel Koronavirus (2019-nCov) dikesan berlaku di Malaysia.

Kerajaan Sabah akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam usaha mengawal dan membendung penularan koronavirus ini.

Mengenai dakwaan ada hotel melarang kakitangan memakai topeng penutup hidung dan mulut, Mohd Shafie berkata, beliau percaya tidak banyak hotel yang melakukan larangan sedemikian.

Katanya, kerajaan akan melihat keadaan sebegitu kerana apa yang penting pada masa ini adalah mengawal penularan virus berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie mahu Sabah menarik lebih banyak pelancong dari Eropah dan negara lain untuk datang ke Sabah.

“Atas sebab itu, saya menyatakan kepada Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar) untuk melakukan lawatan ke Eropah untuk mempromosikan Sabah,” ujarnya.

Katanya, situasi yang berlaku di Wuhan, China itu sedikit sebanyak akan menjejaskan ketibaan pelancong China ke Sabah. Maka, tiba masanya untuk kerajaan memberi fokus kepada pasaran lain.

Setakat ini, kematian disebabkan koronavirus meningkat kepada 56 orang sementara, 1,900 orang disahkan positif penyakit berkenaan di seluruh China.