Kerajaan Pakatan Harapan tidak lakukan penindasan – Anwar Ibrahim

Anwar (duduk tengah) bersama Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew (duduk-kanan) bersama dengan barisan ketua-ketua bahagian PKR Sabah yang lain semasa sidang media berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Tindakan segelintir pihak yang cuba membangkitkan isu perkauman dan keagamaan yang ektremis antara penyebab kerajaan menarik balik keputusan pembatalan beberapa perundangan yang ada.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah yang tepat demi kestabilan negara.

Katanya, kerajaan hari ini diwarisi daripada kerajaan yang terlibat dengan gejala rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Malah, kemunculan kumpulan yang cuba mengugat keamanan negara pada masa ini memerlukan kerajaan bertindak dengan lebih bijak dalam soal membabitkan perundangan.

Dakwaan bahawa Kerajaan PH bersikap menindas tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan baharu dibawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak dengan menolak undang-undang yang bersikap menindas.

“Kerajaan Malaysia baru akan memperlihatkan perubahan dengan menekankan secara jelas kepada pentadbiran yang lebih baik agar mampu membebaskan negara daripada rasuah, konflik perkauman dan keagamaan.

“Isu membabitkan perkauman dan keagamaan bukan satu isu kecil dan langkah terbaik perlu diambil agar pembangunan ekonomi negara tidak terjejas,” ujarnya.

Anwar berkata, Kerajaan PH memberi mandat kepada Tun Mahathir mengetuai kerajaan dan mereka sentiasa menyokong kepimpinan itu bagi memastikan negara terus stabil.

Namun, itu bukan bermaksud parti-parti dalam gabungan PH tidak dapat menzahirkan pendapat masing-masing.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Aktivis hak asasi manusia merangkap Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Dr Kua KIa Soong yang mengkritik kerajaan Pakatan Harapan yang dilihat sebuah rejim yang melakukan penindasan yang sama seperti kerajaan yang digantikan dalam Pilihan Raya Umum pada Mei lalu.

Kua berkata, keputusan terbaru Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan undang-undang yang disifatkan sebagai menekan itu dilihat sama seperti yang pernah didengari sebelum ini semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa.

Pada minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan menarik balik moratorium ke atas Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Pencegahan Keganasan (Pota), Akta Keselahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) (Sosma) dan Akta Hasutan berikutan insiden rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 26 November lalu.

Kua berkata, kerajaan BN pernah menggunaan perkataan yang sama bagi mewajarkan undang-undang tersebut.

Katanya, langkah PH terbantut kerana ketiadaan keazaman politik dan ideologi politik yang jelas.

Menurutnya, tiada satu pun parti komponen PH boleh diangap sebagai progresif kerana adanya kawalan yang berpaksikan atas gabungan poliitk yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan ketua PH.