Kerajaan Negeri Sentiasa Peka Terhadap Pembangunan Pendidikan Islam

258
Antara pelajar yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Nasyid sempena Program Ihtifal Ilmi berkenaan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap keperluan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di Sekolah Agama Negeri (SAN) yang terdapat di negeri ini.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai berkata, kerajaan komited untuk memastikan pembangunan pendidikan Islam di negeri ini diteruskan bagi memenuhi keperluan menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif.

Jika dilihat situasi SAN Kepayan, sekolah ini memerlukan penambahbaikan infrastruktur. Maka, keperluan itu akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi keutamaan menambah baik prasarana di sekolah tersebut bagi memastikan keselesaan pelajar.

“Pentadbiran SAN Kepayan memaklumkan kepada saya tentang masalah kekurangan prasarana yang perlu ditambah baik di sekolah itu. Kita akan merujuk keperluan itu kepada Jheains untuk tindakan sewajarnya.

Uda ketika menghadiri Program Ihtifal Ilmi di Sekolah Agama Negeri Kepayan

“Kita akan menangani permasalahan dengan sebaiknya dan berharap ianya dapat diselesaikan demi keperluan pelajar yang menuntut di SAN ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penutupan Program Ihtifal Ilmi Zon Satu 2019 di SAN Kepayan, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Uda berkata, program Ihtifal Ilmi sebegitu mampu menjadi pemangkin kepada anak muda untuk membina personaliti dan membantu dalam pembangunan modal insan dalam bidang pendidikan Islam.

Beliau berkata, kejayaan dalam bidang akademik perlu selari dengan kecemerlangan bidang kokurikulum seperti menyertai nasyid dan menghafaz Al-Quran supaya mereka lebih berani menyampaikan syiar Islam di khalayak umum pada masa hadapan.