Kerajaan Negeri Pertimbang Gajet Percuma Untuk Pelajar Kurang Mampu – Hajiji

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
PENAMPANG: Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menyediakan gajet secara percuma kepada pelajar yang kurang berkemampuan di Sabah.

Ini sebagai usaha kerajaan dalam memastikan pelajar yang kurang berkemampuan ini dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang diadakan secara online.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaam faham tidak semua ibu bapa mampu membeli gajet terutama mereka yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Katanya, beliau faham tentang keperluan pelajar yang mengalami masalah ini terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana mereka tidak boleh datang ke sekolah dan perlu belajar dari rumah.

“Oleh itu, usaha untuk memberi kemudahan seperti gajet kepada pelajar dan murid ini kita akan pertimbangkan,” katanya selepas meninjau tanah runtuh di Jalan Penampang-Tambunan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha meningkatkan liputan internet di Sabah juga sedang dilakukan menerusi Pelan Jaringan Digital Negara (Jendela).

Katanya, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM2.5 bilion bagi mempertingkatkan komunikasi digital di negeri ini.

“Terdapat kira-kira 2,000 menara telekomunikasi akan dinaik taraf dan kira-kira 400 menara baharu akan dibina dalam tempoh dua tahun ini,” jelasnya.

Namun, beliau mengakui pelaksanaan PKP sedikit melambatkan proses pelaksanaan Jendela di Sabah kerana pergerakan yang agak terhad dan tidak semua projek dapat dijalankan.

Bagaimanapun, apabila PKP digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kelonggaran mula diberikan, kerja-kerja pembinaan menara dibawah JENDELA ini akan diteruskan.