Kerajaan Negeri Mahu Kenalpasti Alasan Penahanan Rakyat Sabah Di Kemboja

3236

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan mendapatkan maklumat tentang alasan kepada penahanan 47 rakyat Malaysia termasuk dari Sabah yang dipenjarakan di PoiPet, Kemboja sejak 11 Disember lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau perlu mengetahui alasan kenapa mereka ditahan.

”Kita perlu mengenalpasti (alasan) dulu dan jika ada keperluan untuk kita bantu, kita akan bantu kerana mereka itu orang Sabah.

”Maka, kita akan berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenalpasti sebab penahanan,” katanya ketika ditanya tentang penahanan 47 rakyat Malaysia termasuk dari Sabah, di sini pada Ahad.

Menurutnya, bantuan yang akan diberikan adalah sama seperti dalam mengendalikan kes berkaitan pelajar yang terkandas.

”Yang mana, kita akan meminta Kementerian Luar Negeri untuk berhubung dengan rakan sejawat bagi memastikan mereka yang terkandas itu dapat dibawa pulang semula (ke Malaysia).

Kemudian ditanya jika Kerajaan Negeri sudah memperolehi maklumat mengenai kes penahanan berkenaan, Shafie menyatakan beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Ketika dihubungi Borneotoday, Wisma Putra mengesahkan tiga daripada 47 rakyat Malaysia yang ditahan adalah orang Sabah.

Akhbar nasional sebelum ini melaporkan 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja itu, 44 daripadanya berasal dari Sarawak dan selebihnya dari Sabah.

Difahamkan semua individu yang berusia antara 19 hingga 44 tahun itu ditahan pihak berkuasa Kemboja kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian atas talian (onlne).

Berdasarkan fakta kes, kumpulan itu pada asalnya ditawarkan pekerjaan sebagai jurujual barangan elektrik di Kemboja dengan tawaran gaji lumayan dalam mata wang Dolar Amerika, selain tiket penerbangan dan tempat tinggal percuma bagi tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun mereka tidak menerima pekerjaan dijanjikan, sebaliknya ditempatkan di sebuah rumah sehingga ditahan pihak berkuasa Kemboja pada 11 Disember lalu, dipercayai bertindak atas maklumat risikan.