Kerajaan Negeri Komited Lantik 30 Peratus Wanita Dalam Jawatan Tertinggi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited dalam memastikan sasaran melantik 30 peratus wanita bagi memegang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam di Sabah dapat dicapai.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya berkata, sebelum ini, tiga wanita dilantik memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap Kementerian namun, salah seorang daripadanya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) iaitu Datuk Masnah Matsalleh.

Beliau berkata, pengiktirafan terhadap wanita turut dilihat dalam lantikan wanita bagi jawatan tertinggi dalam agensi kerajaan yang lain.

Katanya, buat pertama kali dalam sejarah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu adalah seorang wanita (Noorliza Awang Alip). Malah, Peguam Besar Negeri juga seorang wanita iaitu Datuk Nor Asiah Yusof.

“Ini merupakan jawatan-jawatan penting yang akan mempengaruhi dasar-dasar perkhidmatan awam di negeri Sabah.

“Diperingkat kementerian, kita telah memenuhi lebih 30 peratus lantikan wanita,” katanya semasa Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (Jhewa), di sini hari ini.

Shahelmey berkata, sasaran 30 peratus penglibatan wanita di peringkat nasional dilihat akan dapat dicapai dari masa ke semasa.

Mengenai sambutan itu, beliau berharap sambutan sebegitu memberi pengiktirafan dan motivasi bagi menaikkan semangat wanita untuk terus berdaya saing.

“Saya berharap wanita di negeri Sabah termasuk kumpulan sasar di bawah kementerian akan bersama-sama berganding bahu bagi meningkatkan kebolehan masing-masing.

“Kita harus bersama-sama memajukan dan membangunkan negeri Sabah selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pentadbiran), Datuk Masnah Matsalleh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Lee Chun Khiong; dan Pengarah Jhewa, Rusnah Kuyung.