Kerajaan Negeri Hantar Bakul Makanan Kepada Penduduk Pitas

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif dengan menghantar bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas banjir dan terputus jalan perhubungan utama di Pitas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan memahami masalah serta kesukaran penduduk yang terlibat untuk keluar membeli barang keperluan.

Katanya, berikutan beberapa jalan darat yang terputus termasuk sebuah  jambatan di Sungai Paparoun Telaga yang menjadi nadi perhubungan utama penduduk Kampung Telaga menyebabkan penduduk sukar untuk keluar membeli barang keperluan.

“Atas sebab itu, kita menghantar bantuan bakul makanan. Bagaimanapun usaha menghantar bakul makanan secara berperingkat-peringkat telah dilakukan oleh Jawatankuasa Bencana Alam  Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Pitas bagi membantu mereka yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menteri Kerja Raya berkata demikian bagi mengulas laporan media yang menyatakan terdapat kira-kira 4,000 orang penduduk Pitas di 15 buah kampung terputus bekalan makanan ekoran musibah banjir yang mengakibatkan beberapa jalan dan jambatan runtuh.

Bung berkata, bagi kampung-kampung yang masih dihubungkan dengan jalan darat, pihak Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Pitas, Ahli Parlimen Kudat dan dua wakil rakyat ADUN Pitas dan ADUN Bengkoka telah menyelaras bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas.

Shahelmey mengetuai agihan bantuan bakul makanan dengan menggunakan pengangkutan udara helikoptar PDRM di padang SK Liu, Pitas.

Menurutnya, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, penghantaran bakul makanan telah dilakukan melalui jalan udara dengan menggunakan helikopter pada Jumaat.

Tambahnya, disebabkan kapasiti pengangkutan amat terhad maka, bantuan yang disalurkan juga agak terhad dan penghantarannya bergantung kepada keadaan cuaca.

Katanya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shehelmey Yahya juga telah turun padang bagi memantau keadaan ini.

Malah, pasukan dari Jabatan Kerja Raya yang diketuai oleh Pengarahnya Ir Ali Ahmad Hamid bersama jurutera-jurutera daerah juga telah melakukan lawatan ke beberapa buah tempat yang terputus perhubungan jalan raya bagi mengenal pesti kerosakan dan anggaran kos pembaikan.

Untuk itu, kerja kerja pembaikan dan penyelanggaran dengan menggunakan peruntukan kecemasan (AP55) akan segera dilaksanakan.

“ Kita akan memulakan kerja-kerja pembaikan dalam tempoh terdekat ini. Bagaimanapun ianya bergantung kepada keadaan cuaca.

“Tindakan terawal kita ialah membuat laluan alternatif bagi jalan-jalan yang tidak mengalami kerosakan serius dan masih ada ruang untuk membina laluan alternatif,” katanya.