Kerajaan Negeri Beri Kerjasama Penuh Kes Rasuah Babitkan Pegawai Kanan

SAFAR UNTONG

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan kes rasuah membabitkan seorang pegawai kanan sebuah jabatan yang terlibat dalam melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong berkata, beliau mengambil perhatian serius mengenai kes berkenaan.

Maka, Kementerian Kewangan negeri diarah untuk meneliti dan menambah baik sistem dan prosedur yang boleh membuka ruang dan peluang aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan.

“Saya mengambil perhatian serius berikutan dengan laporan kes melibatkan tangkapan terhadap penjawat awam negeri dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Pada 18 Mei lalu, seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan SPRM Sabah kerana dipercayai meminta serta menerima rasuah berjumlah kira-kira RM700,000 daripada sebuah syarikat kilang sawit sebagai balasan untuk melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan negeri.

Kelmarin, seorang lagi individu bergelar Datuk yang merupakan bekas penjawat awam turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.