Kerajaan Negeri Bakal Lancar Pakej Rangsangan Ekonomi Pelancongan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Kerajaan Sabah akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi minggu hadapan bagi membantu meningkatkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, demikian diminta mengulas mengenai perancangan kerajaan dalam membantu pemain industri pelancongan di negeri ini.

“Perkara itu sudah saya maklumkan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pertemuan bersama di Kuala Lumpur, minggu lalu.

“Cadangan itu akan dimasukkan ke dalam kerangka pakej rangsangan untuk Sabah kelak,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Ceria Sekolah, di Dewan Masyarakat Semporna, di sini hari ini.

Tambahnya, ia penting memandangkan Sabah banyak bergantung kepada industri pelancongan yang menerima implikasi besar akibat Covid-19.

Sementara itu, Mohd. Shafie turut menyampaikan sumbangan wang sebanyak RM12,000 kepada 1,200 pelajar sekolah menengah dan rendah di Semporna hasil sumbangan peribadinya, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Program ini adalah antara aktiviti membabitkan tanggungjawab sosial korporat dari anak syarikat kerajaan negeri iaitu SEC dan SESB.

“Ia selari dengan usaha kerajaan negeri yang mahu memastikan supaya bidang pendidikan menjadi satu agenda penting dalam membantu anak kita berjaya sekali gus meletakkan Malaysia berada di landasan betul untuk terus membangun serta maju,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada SEC dan SESB menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Terdahulu, Mohd Shafie turut menyampaikan sumbangan daripada syarikat GLC berkenaan sebanyak RM205,000 kepada 41 sekolah rendah dan RM90,000 kepada sembilan sekolah menengah sekitar daerah ini.