Kerajaan menghargai amanah besar yang terpikul pada bahu guru-guru

Rahmahjan bergambar kenangan besama barisan kepimpinan KGKS.
Rahmahjan bergambar kenangan besama barisan kepimpinan KGKS.

OLEH AMAN KASSIM
KENINGAU: Profesion perguruan merupakan profesion yang paling banyak mendapat perhatian dan pembelaan dari kerajaan.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Tenom, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan berkata ini kerana ia amat signifikan dalam proses pembangunan modal insan bukan sahaja dalam konteks penjanaan ilmu pengetahun, bahkan pembentukan sahsiah unggul dan kepemimpinan di kalangan pelajar.

Katanya, pelbagai usaha insentif menarik, dan penambahbaikan berterusan, dilakukan oleh kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan, bagi memperkasakan dan memartabatkan profesion keguruan di negara kita, termasuk peluang-peluang kenaikan pangkat yang lebih luas kepada warga pendidik, dan yang terbaru keutamaan untuk berkhidmat di tempat asal masing-masing.

“Saya yakin dan percaya, segala perhatian dan pengiktirafan kerajaan ini, diterima dengan penuh gembira dan senang hati, di kalangan warga pendidik umumnya,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) Kali ke-7 Sesi 2016/2018 di Hotel Perkasa di sini.

Beliau berkata, kerajaan yang didokong oleh Barisan Nasional (BN) sememangnya sentiasa bersikap prihatin dan mengambil berat, terhadap kebajikan dan kepentingan, nasib guru-guru yang berbakti serata pelusuk baik di bandar mahupun di pulau, gunung dan bukit, yang terpaksa berjalan kaki mendaki jalan berlumpur atau berdayung dan berakit, demi mendidik anak-anak bangsa kita.

“Keprihatinan dan kepedulian kerajaan ini, adalah untuk menghargai tanggungjawab dan amanah besar yang terpikul pada bahu guru-guru. Sekurang-kurangnya langkah dan usaha itu memberikan sinar kegembiraan buat warga pendidik” katanya.

Dalam masa yang sama Rahmahjan menggesa Kesatuan KGKS agar terus berjuang dan membela nasib warga pendidik, dalam pelbagai aspek.

Katanya, KGKS perlu mengetengahkan apa jua perkara, yang berkaitan kebajikan dan kepentingan nasib guru-guru, kerana sebagai payung warga pendidik, KGKS sesungguhnya lebih arif dan mengetahui apa yang patut diperjuangkan.

Pada majlis ini, Rahmahjan menyumbang sejumlah RM15,000.00 kepada KGKS untuk kegunaan pelbagai aktiviti kesatuan.