Kerajaan Lulus RM 550,000 Untuk Masyarakat Sapulut

3159

Oleh SURAIDAH ROSLAN

PENSIANGAN: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM550,000 bagi menaiktaraf tapak tamu Sinsingon serta pam air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepulut, Pensiangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengumumkan kelulusan berkenaan semasa Majlis Perasmian Ilau Panawari, di Dewan Datuk Lindong SMK Sepulut, di sini pada Sabtu.

Peruntukan bagi menaiktaraf tapak tamu itu akan disalurkan menerusi Kementerian Kewangan dengan dana sebanyak RM300,000 dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dengan dana RM200,000.

Manakala dana RM 50,000 akan diberikan bagi memperbaiki pam air yang rosak di sekolah berkenaan.

Mengenai masalah jalan raya di Sapulut, beliau berkata, lima jalan telah dikenalpasti bagi memastikan ianya dimasukkan dalam jalan yang akan dinaiktaraf oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Lima jalan yang dikenalpasti itu termasuklah Jalan Pagalungan, Salung, Pensiangan, Pangaraaan dan Ponotomon.

Katanya, beliau akan meminta jabatan itu supaya memasukkan kelima-lima jalan berkenaan dalam projek pembangunan jalan raya yang akan datang.