Kerajaan Lihat Langkah Terbaik Tangani Harga Rumah Mahal Di Sabah

215
Datuk Shafie Apdal menerima cenderakenangan dari Mohd Mentek, kiri.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan melihat mekanisma yang boleh digunapakai dalam memastikan harga rumah di negeri ini tidak membebankan rakyat terutama golongan belia yang berdepan masalah membeli rumah berikutan harga rumah yang terlalu mahal.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri akan melihat bagaimana untuk mengurangkan kos tanah agar bebanan harga tidak dipindahkan kepada rakyat yang menjadi pembeli akhir.

Beliau berkata, isu harga rumah mahal hingga membebankan belia ini menjadi kebimbangannya kerana apabila anak-anak muda berhijarah untuk bekerja di bandar, mereka berdepan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Oleh itu, kerajaan akan melihat pencapaian projek-projek perumahan yang dilaksana. Semakin lambat pembinaan sesuatu projek, lebih tinggi kos yang ditanggung.

Projek Pr1Ma Residensi Manggatal di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menerima Kunjungan Hormat Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mentek, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Khamis.

Ditanya tentang rancangan memperluaskan Program Rumah Peduli Rakyat ke negeri-negeri lain termasuk ke Sabah, Mohd Shafie mengalu-alukan program sebegitu agar kemudahan yang dinikmati di Semenanjung Malaysia akan sampai ke peringkat negeri Sabah.

Mengenai pertemuan itu, Mohd Shafie berkata, langkah sebegitu akan membolehkan pelaksanaan projek dibawah kementerian itu dapat dilaksana dengan lancar.

Katanya, perbincangan yang diadakan memberi manfaat kepada Sabah dan diharap projek dirancang dapat dilaksana dengan baik walaupun kerajaan berdepan dengan keadaan kewangan yang terbatas.

Menurutnya, antara perkara dibincangkan bersama KSU kementerian itu, termasuk projek menaiktaraf Tapak Pengurusan Sisa Pepejal Kayu Madang yang sudah menerima peruntukan lebih RM40juta.

Katanya, projek menaiktaraf itu akan dimulakan pada tahun ini dan ia diharap dapat membantu menguruskan pembuangan sampah dengan baik.