KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang melihat keperluan mewujudkan enakmen penyelarasan perindustrian bagi meningkatkan ekosistem pelaburan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, penyelarasan sebegini penting bagi memastikan agensi-agensi kerajaan terlibat dapat bekerjasama dalam memastikan pelaburan yang dilakukan di negeri ini dapat dipertingkatkan.
“Kita belum ada enakmen seperti ini, di peringkat persekutuan mereka sudah ada Akta Penyelarasan Perindustrian.
“Ini antara aspek yang kita kena lihat di Sabah dan Institut Kajian Pembangunan (IDS) akan membantu dari segi penyelarasan untuk melihat bagaimana kita dapat memperbaiki ekosistem pelaburan di Sabah,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Bantuan Usahawan Mikro & Cottage di bawah Sabah New Deal RM20 juta, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan mewujudkan enakmen itu ke kabinet negeri sekiranya perlu.
Katanya, pelan ini diharap dapat disiapkan oleh IDS selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Menyentuh tentang pelaburan yang diperoleh di Sabah setakat Mac, negeri ini telah menerima pelaburan tertinggi dengan RM11.7 bilion. Ini termasuk pelaburan dilakukan dalam pembangunan loji terapung bagi pemprosesan gas asli cecair (PLNG) yang pertama di dunia yang terletak di perairan Kudat.
Dalam pada itu, kementeriannya turut mencadangkan untuk mengenakan levi untuk industri pemprosesan besi buruk.
Katanya, jika levi ke atas besi buruk mula dikenakan, ia mampu menjana hasil hampir RM25 juta setahun.