Kerajaan Lihat Kaedah Terbaik Berkaitan Isu Tanah Penduduk Tinusa

1733
SHAFIE APDAL

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIULU: Kerajaan Negeri akan melihat langkah terbaik bagi membantu menyelesaikan permasalahan penduduk Kampung (Kg) Tinusa 1, Sandakan yang telah menerima notis perintah mahkamah untuk mengosongkan perkampungan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kes tuntutan tanah itu sudah masuk dalam mahkamah dan mahkamah juga telah membuat keputusan.

“Bagaimanapun kita akan lihat macam mana dan saya telah mengarahkan pengarah Jabatan Tanah & Ukur untuk melihat perkara ini. Kita akan lihat bagaimana (membantu) penduduk kampung sedia ada.

“Namun pendekatan saya dari awal mahukan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta agensi kerajaan supaya bekerjasama dengan rakyat.

“Tetapi isu tuntutan tanah di Kg Tinusa ini sudah dalam peringkat mahkamah dan rayuan juga telah dibuat…mahkamah sudah membuat keputusan. Kita akan melihat perkara itu,” katanya ketika ditanya mengenai penduduk Kg Tinusa 1 yang telah diperintah keluar dari kampung yang diduduki sejak 30 tahun lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Krismas Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Madius Tangau, di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Pengerusi Persatuan Kebajikan Generasi Endrekang Sabah Erwin @ Batilis Jaraman memohon pembelaan Ketua Menteri dalam isu membabitkan penduduk Kg Tinusa 1, Sandakan yang diperintahkan keluar dari kawasan perkampungan yang dihuni sejak 30 tahun lalu.

Erwin memaklumkan masalah bermula pada awal tahun 2000, dimana status tanah anak negeri (NT) seluas 2.07 hektar yang dihuni 23 keluarga tiba-tiba turut dimiliki individu lain dengan status pegangan pajakan (CL).

Penduduk di situ juga menerima notis perintah dari Mahkamah Tinggi bertarikh 4 Disember 2018 yang memerintahkan penduduk di situ mengosongkan kawasan terbabit bermula 27 Disember 2018 hingga 7 Januari.

BERITA BERKAITAN: –

Penduduk Tinusa Mohon Pembelaan KM Bantu Selesaikan Masalah Tanah