Kerajaan komited tangani kepupusan hidupan liar, Shafie Apdal

Sue (kanan) menyampaikan kunci replika kepada Augustine (tiga kiri), sambil disaksikan oleh Christina Liew (dua kanan) dan pegawai kanan kementerian dan JHL Sabah.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk mengunapakai segala kuasa yang ada bagi menangani masalah kepupusan hidupan liar yang dihadapi di Sabah.

Ia termasuk menangani masalah kepupusan gajah pygmy borneo, tenggiling, Orang Utan, Tambadau dan banyak lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, usaha dilakukan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Orangutan Appeal UK dalam membantu menjayakan usaha pemeliharaan hidupan liar di Sabah amat dihargai.

“Sepanjang 18 tahun, Orangutan Appeal UK telah menyumbangkan sebanyak RM12 juta bagi membantu usaha pemeliharaan hidupan liar di Sabah, terutama Orang Utan.

“Pada September tahun lalu, Orangutan Appeal UK menyatakan untuk memberi RM1juta untuk lima tahun akan datang kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, ia termasuk tiga kenderaan pacuan empat roda yang sudah diubahsuai untuk kegunaan Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU),” katanya dalam teks ucapan sempena Majlis Penyerahan kenderaan pacuan empat roda, di sini pada Jumaat.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Mohd Shafie berkata, WRU memainkan peranan yang cukup signifikan dalam operasi menyelamat dan memindahkan hidupan liar sejak sembilan tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi merangkap Pengasas Orangutan Appeal UK Sue Sheward melahirkan rasa beruntung kerana berpeluang membantu dalam usaha pemeliharaan hidupan liar terutama Orang Utan di Sabah sejak 18 tahun lalu.

Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga berkata, ketiga-tiga kenderaan itu akan ditempatkan di lokasi berbeza seperti Sandakan dan Lahad Datu.

Katanya, setiap kenderaan bernilai RM130,00 dan baki berjumlah RM600,000 itu akan digunakan untuk aktiviti WRU bagi tempoh lima tahun akan datang.

Augustine berkata, sejak 18 tahun lalu Orangutan Appeal UK banyak membantu dalam pelaksanaan program berkaitan Orang Utan termasuk membaikpulih Pusat Pemuliharaan Orang Utan di Sepilok.

Beliau berkata, WRU bukan hanya menyelamatkan Orang Utan tetapi juga hidupan liar lain yang berada di lautan dan daratan.

Ditanya mengenai populasi terkini Orang Utan di Sabah, beliau berkata, usaha untuk menjalankan tinjauan bagi mengenalpasti statistik terbaru Orang Utan mungkin akan dimulakan pada tahun ini.

Dana berjumlah RM2.5juta daripada Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sudah diluluskan bagi menjalankan tinjauan untuk mendapatkan statistik terkini Orang Utan dan juga Gajah Pygmy Borneo.