Kerajaan Sabah Komited Realisasikan Hasrat Jadikan Papar Hab-Pendidikan

731

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Kementerian Pelajaran dan Inovasi disaran supaya mengenalpasti langkah terbaik untuk memastikan hasrat menjadikan daerah ini sebagai Hab-Pendidikan Sabah dapat direalisasikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, sebahagian besar kerangka yang perlu diambil kira dalam usaha merealisasikan hasrat itu adalah memfokuskan kepada pembangunan kolej vokasional.

Ia bagi membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak latihan kemahiran kepada anak-anak belia di Sabah.

Beliau berkata, pendidikan berasaskan kemahiran tertentu perlu diselaraskan dengan keperluan industri.

“Kita perlu menyelaraskan jenis latihan yang diperlukan bagi melatih anak-anak muda supaya boleh memenuhi keperluan industri seperti melalui latihan di kolej teknik dna vokasional (TVET) dan pusat-pusat latihan lain.

”Kita mahu melahirkan golongan yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan agar mereka dapat memasarkan ilmu yang ada untuk memperolehi pekerjaan dan gaji yang baik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sentuhan Kasih & Kenduri Sekampung dan lawatan ke rumah daif, di Kampung Kuala, di sini pada Jumaat.

Ditanya mengenai potensi untuk mewujudkan hab-hab tertentu di setiap daerah di Sabah, Mohd Shafie berkata, setiap daerah di negeri ini mempunyai potensi tertentu yang boleh dibangunkan agar mereka mampu menyumbang kepada ekonomi negeri ini.

Jika di Keningau, kerajaan memfokuskan kepada penternakan lembu tenusu, di Sandakan memfokuskan kepada industri perabot, pembangunan industri minyak dan gas di Sipitang, begitu juga daerah-daerah lain.

Menurutnya, dalam pembangunan sektor pertanian, Sabah mempunyai potensi yang cukup baik kerana mempunyai tanah yang luas.

Bagaimanapun, pendekatan yang berlainan perlu diambil dalam memastikan ada pembangunan pertanian dilakukan secara berpusat dengan skala yang besar agar pengeluaran makanan dapat dilakukan secara besar-besaran.

”Kita boleh mengeluarkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mempunyai pasaran dan harga yang baik. Ini akan membolehkan kita menghasilkan produk makanan yang bukan hanya boleh digunakan di peringkat negeri tetapi juga boleh dieksport ke luar negara.

”Kerajaan akan membantu mengenalpasti jenis sayuran dan buah-buahan yang boleh ditanam serta mempunyai pasaran yang baik.Misalnya seperti cili padi yang harga pasarannya boleh mencecah RM11 sekilogram. Maka, kita galakkan orang menanamnya.

”Produk makanan sebegini juga memerlukan masa yang singkat untuk mengeluarkan hasil berbanding kelapa sawit yang memerlukan tujuh tahun atau kayu balak yang memerlukan masa selama 20 tahun,” ujarnya.